RANTAU PANJANG: Dua belas pegawai dan 29 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) ditamatkan perkhidmatan dalam tempoh lima tahun sejak 2019 kerana terbabit kes buli dan penderaan terhadap anggota bawahan.
Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata mereka yang dikenakan tindakan itu membabitkan pelbagai pangkat termasuk Mejar.
Katanya, tindakan drastik diambil itu sebagai bukti pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk penderaan dan buli dalam kalangan mereka.
“Saya sentiasa menegaskan perbuatan mendera dan membuli adalah satu pengkhianatan kepada pasukan dan kita tidak akan berkompromi langsung.
“Perbuatan ini bukanlah satu tradisi dalam Tentera Darat (TDM), sebaliknya kadang kala ada kes terpencil yang membabitkan perseorangan dengan mendera anggota bawahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga Op Merpati 8 Briged di Pos Tok’O di sini, hari ini.
Sebelum ini, TDM mengesahkan kematian kes kematian anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri di Sarawak, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, disebabkan wujud unsur ‘manhandling’ (kekerasan) yang dilakukan terhadap mangsa.
Menurut kenyataan TDM
Susulan insiden itu, dua anggota prebet berusia 22 dan 24 tahun dari kem berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain menegaskan TDM sentiasa memberi peringatan kepada pegawai dan anggota bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Kejadian membuli atau mendera memang kita pandang berat dan serius,” katanya.
