9 Syarat Sah Solat Yang Setiap Umat Islam Perlu Tahu

Syarat sah solat ialah syarat yang menentukan sama ada sah atau tidak solat itu.

Sah dalam erti kata mudah ialah apabila sesuatu ibadah itu dilakukan dengan dengan memenuhi rukun dan syarat yang membolehkannya menjadi suatu ibadah yang diterima oleh Allah.

Contoh, Seperti tumbuh-tumbuhan, ia tidak akan wujud di muka bumi melainkan apabila ada air hujan. Tetapi hujan tersebut bukanlah sebahagian daripada tumbuhan itu. Oleh itu, hujan/air adalah syarat kepada wujudnya tumbuh-tumbuhan.

9 Syarat Sah Solat

  1. Islam
  2. Berakal
  3. Suci Dari Hadas
  4. Suci Badan, Pakaiyan Dan Tempat Solat
  5.  Menutup Aurat
  6. Masuk Waktu Solat
  7. Menghadap Kiblat
  8. Mengetahui Cara Solat
  9. Meninggalkan Perkara Yang Membatalkan Solat

Syarat sah solat merangkumi 9 perkara seperti berikut:

1. Islam

Maksudnya tidak sah solat bagi bukan Islam atau orang yang murtad.

Bagi orang kafir asli, mereka hendaklah mengucap dua kalimah syahadah terlebih dahulu sebelum menunaikan solat. Jika tidak, solat mereka tidak sah.

Bagi orang yang sudah Islam, kemudian menjadi murtad, mereka hendaklah kembali kepada Islam dengan bertaubat dan mengucap semula dua kalimah syahadah.

2. Berakal

Maksudnya tidak sah solat bagi orang gila dan yang tidak berakal.

Bagi orang gila dan orang yang pengsan kerana uzur, mereka tidak wajib mengqada solat apabila sedar.

Namun mereka yang hilang akal dengan sengaja seperti mengambil benda-benda yang memabukkan, wajib menggada semula solat itu.[1]

Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sayidina Ali bin Abi Talib r.a:

Diangkatkan Al-Qalam (taklif) darpada tiga golongan manusia raitu daripada orang yang tidur sehingga bangun, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga pulih.

(Sahih: Riwayat Imam Abu Dawud: 4403; Imam At- Tirmizi: 1423)

3. SUCI DARIPADA HADAS BESAR DAN KECIL

Kedatangan hadas boleh berlaku apabila terjadi perkara-perkara yang membatalkan wuduk seperti keluar sesuatu daripada dua jalan, menyentuh perempuan yang bukan mahram dan lain-lain.

Kedatangan hadas besar pula adalah apabila berlaku perkara-perkara yang mewajibkan mandi wajib seperti keluar mani, bersetubuh walaupun tidak terpancut air mani, suci dari haid dan nifas dan lain-lain.[2]

4. SUCI BADAN, PAKAIAN DAN TEMPAT SOLAT DARIPADA NAJIS

Hendaklah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.

  • Suci pada badan iaitu suci seluruh badan daripada najis yang tidak dimaafkan oleh syarak.
  • Suci pada pakaian iaitu suci pakaian daripada najis yang tidak dimaafkan oleh syarak.

Suci pada tempat solat. Maksud tempat solat ialah tempat yang diletakkan anggota sujud, iaitu tempat diletakkan dahi, dua tangan, dua lutut dan dua kaki sahaja.

Jika terdapat najis di bawah dada ketika sujud dan najis itu tidak menyentuh dada orang yang melakukan sujud, solat dikira sah kerana najis itu bukan terletak di tempat yang dikira ‘tempat solat’.[3]

5. MENUTUP AURAT

Syarat sah yang seterusnya ialah menutup aurat.

Maksudnya, tanpa menutup aurat sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum syarak, solat adalah dikira tidak sah.

Aurat ialah sesuatu yang wajib ditutup dan haram ditilik.

Aurat wajib ditutup dalam solat atau luar solat sekalipun dalam keadaan bersendirian kecuali kerana ada hajat tertentu seperti istinjak, mandi, qada’ hajat dan lain-lain.

6. MASUK WAKTU DENGAN YAKIN

Sebelum mendirikan solat, seseorang itu hendaklah mengetahui telah masuk waktu solat dengan yakin atau sekurang-kurang zan (sangkaan kuat masuk waktu).

7. MENGHADAP KIBLAT DENGAN YAKIN

Para ulama bersepakat, menghadap kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah solat melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan (solat Al-khauf) dan solat sunat dalam keadaan bermusafir.

8. MENGETAHUI CARA SOLAT

Mengetahui cara solat membawa kepada pemahaman tentang pengertian dan skopnya yang sangat luas.

Dalam bentuk yang sangat mudah, ia diterjemahkan kepada mengetahui, dapat membezakan dan dapat mengamalkan enam perkara berikut:

  • Syarat wajib.
  • Syarat sah solat.
  • Rukun solat dan syarat setiap rukun.
  • Perkara sunat.
  • Perkara makruh.
  • Perkara yang membatalkan solat.

9. MENINGGALKAN PERKARA MEMBATALKAN SOLAT

Wajib meninggalkan perkara membatalkan solat untuk mengelakkan solat itu tidak sah mengikut hukum syarak.

Jika mencukupi sembilan syarat sah solat di atas, solat dikira sah sekalipun dalam keadaan uzur dan penunaian solat itu menggunakan rukhsah.

Demikian syarat syarat sah solat yang menjadi asas kepada penentuan gugur atau tidak kewajipan solat dan sah solat atau tidak.

Baca Juga: Maksud Sedekah dalam islam

Sumber Dan Rujukan