Kehilangan pelakon Nadia Kesuma terus mencetuskan misteri, jumpa sesuatu milik beliau

Kehilangan pelakon Nadia Kesuma terus mencetuskan misteri, jumpa sesuatu milik beliau..😱⬇️

Kehilangan pelakon Nadia Kesuma terus mencetuskan misteri apabila bagasi tangan miliknya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, namun keberadaan dirinya masih belum diketahui sehingga kini.

Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah, berkata penemuan beg terbabit menguatkan lagi kebimbangan kerana pelakon filem Syaitan Munafik sepatutnya membawa sendiri bagasi berkenaan sebagai ‘hand carry’ ketika transit sebelum meneruskan penerbangan ke London.

“Saya difahamkan sekarang ni kita dah jumpa beg dia, ‘hand luggage’ dah jumpa, jumpa di lapangan terbang Jeddah. Beg ada, tapi dia tak ada. Diri dia tak ada.

“Difahamkan, beg berwarna merah itu ditemui malam tadi oleh pihak berkaitan di sana (Jeddah),” katanya kepada BH.

Anne berkata, Nadia tiba di Jeddah sekitar jam 6 pagi dan dijadualkan menaiki penerbangan transit ke London dua jam berikutnya, dengan tempoh dua jam transit yang membolehkan penumpang melakukan aktiviti bebas seperti makan dan menunaikan solat sebelum berkumpul semula di pintu pelepasan.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dilakukan oleh pihak agensi pelancongan, Nadia didapati tidak berada di pintu pelepasan dan gagal dikesan walaupun pengumuman dibuat beberapa kali di lapangan terbang.

“‘Travel agent’ periksa dia tak ada… mencari dan buat pengumuman di lapangan terbang itu beberapa kali, memang dia tak ada,” katanya.

Anne berkata, kali terakhir Nadia berhubung adalah pada pagi kejadian bagi memaklumkan dia selamat tiba di Jeddah, namun selepas itu tiada lagi sebarang komunikasi.

Beliau menjelaskan, proses membuat laporan polis hanya boleh dilakukan selepas tempoh 24 jam, menyebabkan tindakan lanjut seperti semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang Jeddah tidak dapat dilakukan lebih awal.

“Selagi tak ada laporan polis, kita tak boleh minta pihak lapangan terbang Jeddah buka CCTV. Kena ada laporan polis baru mereka boleh periksa CCTV untuk kesan dia di mana,” katanya.

Katanya, laporan polis kini sedang diusahakan oleh semua pihak berkaitan dan sebaik diterima, laporan itu akan diserahkan kepada Wisma Putra untuk tindakan lanjut membabitkan pihak kedutaan Malaysia di Arab Saudi.

“Sebaik sahaja kita dapat laporan polis, kita akan hantar ke Wisma Putra untuk mereka bertindak,” katanya.

Setakat ini, walaupun bagasi tangan Nadia ditemui malam tadi di Lapangan Terbang Jeddah, keberadaan dirinya masih menjadi tanda tanya.

Semalam, media melaporkan Nadia gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Anne turut memaklumkan Nadia melakukan perjalanan itu seorang diri dan tidak menolak kemungkinan berlaku sesuatu yang tidak dijangka sejurus selepas ketibaannya.

Sebelum hilang, Nadia ada menghantar mesej kepada suaminya mengatakan dia bertemu seseorang yang tidak dikenali, kemudian terus tiada khabar.

Kedua-dua telefon bimbitnya hanya menunjukkan mesej dihantar tetapi tiada sebarang respon.