Resepi Meehoon Tumis Ikan Bilis Pedas – Percik Cuka, Rasa Bangkit!

Resepi Meehoon Tumis Ikan Bilis ini sangat simple tapi rasa dia memang puas hati! Hanya guna bahan asas, tapi hasilnya cukup sedap bila ditambah sedikit percikkan cuka. Rasa masam-masam pedas dia buat kita makan bertambah!
Sesuai untuk dihidangkan waktu sarapan, minum petang, atau makan malam ringan. Kalau guna kuali non-stick, kerja jadi senang – tak melekat, tak putus!
🍜 Bahan-bahan:
- 1 bungkus meehoon Jasmin – rendam air biasa selama 10 minit
- 3 keping fish cake – dihiris
- 1 batang lobak merah (carrot) – dihiris halus
- Kacang buncis – dihiris serong
- 1 sudu besar sos tiram
- ½ sudu kecil serbuk kunyit
- ½ sudu makan cuka makanan (boleh lebih ikut suka)
- Garam dan gula secukup rasa
- Ajinomoto (jika suka)
🧄 Bahan Blend:
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- Segenggam ikan bilis
- Segenggam cili padi
- 2 batang cili merah
👩🍳 Cara Memasak:
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali non-stick.
- Tumis bahan blend sehingga naik bau dan agak garing.
- Masukkan fish cake, garam, gula, ajinomoto (jika guna), sos tiram dan serbuk kunyit. Gaul rata.
- Masukkan sedikit air – agak-agak cukup untuk melembutkan meehoon nanti.
- Bila kuah mula mendidih, masukkan meehoon yang telah direndam tadi.
- Masukkan carrot dan kacang buncis, gaul rata dan biarkan sampai masak.
- Terakhir, percikkan ½ sudu makan cuka. Gaul rata dan padam api.
💡 Tip Ekstra:
- Guna garpu besar untuk gaul meehoon – elakkan dari putus.
- Kalau suka lebih masam, tambah cuka semasa menghidang.
- Tambah telur mata atau sambal tumis sebagai pelengkap hidangan.
Selamat mencuba! Meehoon ni antara menu penyelamat bila kita nak cepat tapi tetap nak rasa sedap dan puas. Nak buat jual pun boleh sangat 🥰
Kredit: Siti Rohana Abdul Jalil
