Kemesraan antara pelakon Que Haidar dan aktres, Nur Fazura menjadi bualan ramai selepas kedua-duanya dilantik sebagai duta dan bekerjasama mempromosikan sebuah jenama tesktil tempatan.
Lebih menghangatkan spekulasi, Que menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada Fazura selain mereka turut dilihat mengunjungi bazar Ramadan bersama baru-baru ini.
Hubungan mesra mereka itu membuatkan ramai mula ‘menjodohkan’ pasangan sahabat itu selain tercetus tanda pagar #QuelaFaz.
ADAKAH QUE DAN FAZ BERCINTA?
Tidak mahu berteka teki, Que menegaskan status hubungannya dengan Fazura hanya sekadar sebagai sahabat lama yang menjalankan sebuah kempen raya bersama.
Menurut Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 46, dia bagaimanapun mengakui masih berasa segan setiap kali berhadapan aktres berkenaan kerana berasakan dirinya kerdil dalam industri seni kerana sudah lama tidak aktif dalam dunia lakonan.
KAMI MEMANG BERSAHABAT…
“Memang kami bersahabat. Fazura ialah sahabat lama yang sudah lama saya tidak berjumpa, kami juga sertai industri ini dalam tempoh yang lebih kurang sama.
“Bila jumpa semula, mestilah ada rasa malu-malu dan segan. Maklumlah saya sudah lama meninggalkan industri.
“Kadang-kadang saya terfikir juga, ‘wow, besarnya nama awak sekarang’, sedangkan saya rasa nama saya kecil sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi peminat yang seperti merestui sekiranya hubungan mereka melangkah ke fasa lebih serius, dia enggan terlalu mengambil serius perkara tersebut.
“Kalau orang gembira, alhamdulillah. Kalau perkara ‘kenen-kenen’ ini boleh buat orang hilangkan keresahan atau stres mereka, saya okey sahaja.
“Kita tidak perlu fikir terlalu berat. Kalau saya beratkan, pasti akan jadi berat.
“Kalau saya ringankan, ia jadi ringan. Jadi saya layan sahaja,” katanya lagi.” akhiri beliau.
Sumber: kosmo
