KUALA LUMPUR: Pelakon, Julia Farhana dan suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz didakwa tidak menyambut Aidilfitri bersama tahun ini sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai status rumah tangga mereka di media sosial.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Dr Che Hafiz atau nama sebenarnya, Che Muhammad Hafiz Che Baharum juga hanya memuat naik foto menyambut Aidilfitri bersama ibunya tanpa kelibat Julia.
“Sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu. Seperti biasa, pada pagi raya, saya akan singgah ziarah ibu dan ayah tercinta terlebih dahulu.
“Sempat juga merasa air tangan ibu buat nasi minyak ayam merah yang sudah lama mengidam.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua. Semoga kita dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kita,” katanya.
Menjengah IG Julia pula, tiada sebarang hantaran mengenai sambutan Hari Raya pada tahun ini.
Dalam pada itu, Julia dan Che Hafiz juga saling tidak mengikuti (unfollow) akaun IG masing-masing sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai hubungan mereka.
Usaha Harian Metro untuk mendapatkan maklum balas daripada Julia berhubung isu ini tidak berjaya kerana pelakon itu tidak menjawab panggilan mahupun WhatsApp yang dihantar.
Untuk rekod, Julia mendirikan rumah tangga bersama Che Hafiz pada 14 Disember 2022.
Che Hafiz sebelum itu pernah berkahwin dengan pelakon Lufya dan memiliki seorang anak perempuan iaitu Laana Haura, 8 tahun. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 17 Jun 2020.
