Siapa sangka ini ayat Aliff Aziz bagi lepas Bella bertunang dgn Syed Saddiq

“Aliff hanya manusia biasa, bukan malaikat, bukan nabi…”

Itu antara reaksi diberikan oleh penyanyi Aliff Aziz apabila ditanya tentang berita pertunangan bekas isterinya, Bella Astilla dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mendoakan pasangan tersebut terus bahagia, Aliff atau Mohamad Aliff Aziz, 35, berharap urusan Bella melangkah ke fasa baharu bersama pilihan hatinya itu dipermudahkan.

“Alhamdulillah.. Aliff sangat gembira melihat mereka bahagia dan Aliff doakan semoga mereka terus kekal bahagia hingga ke anak cucu insya-Allah.

“Selebihnya, Aliff minta semua doakan yang baik-baik untuk semua orang. Doakan juga yang baik-baik untuk Aliff. Aliff hanya manusia biasa, bukan malaikat, bukan nabi. Kalau ada salah kongsi Aliff minta maaf,” katanya kepada mstar.

Aliff berkongsi perasaan gembiranya itu ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Iqiyi, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Ditanya adakah dia turut menyaksikan detik bersejarah bekas isterinya itu, Aliff mengakui ada menerima kiriman video daripada beberapa pihak.

Lebih membuatkan dia teruja apabila melihat kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anaknya iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

“Ada la orang hantar (video). Jujurnya Aliff doakan yang terbaik, ini jujur, bukan cakap untuk apa-apa. Aliff rasa gembira untuk mereka bila lihat anak-anak Aliff juga gembira.

“Itu pun dah buat Aliff rasa gembira. Anak-anak sentiasa dalam doa. Doa untuk mereka semoga kekal ke pelamin,” ujarnya.

Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Aliff pada September 2016.

Mereka pernah bercerai pada 16 Mei 2019 namun rujuk kembali dan berpisah kali kedua pada Mac 2024. Hasil perkahwinan, mereka mempunyai dua cahaya mata iaitu Ayden, 9, dan Ara, 6.

Sumber: mstar