(Video)
Tular Lelaki Saran Majikan China Jangan Ambil Pekerja Melayu [Video]
Lelaki itu mendakwa pekerja berbangsa Melayu gemar mengambil cuti dan terkadang memberi alasan yang tidak munasabah disebalik itu.
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita terkini dan isu trending.
Tidak dinafikan, setiap majikan atau pekerja tidak akan terlepas dengan pelbagai dugaan di tempat kerja termasuklah politik pejabat.
Politik pejabat merupakan penyalahgunaan kuasa di dalam organisasi untuk mencapai agenda tertentu atau kepentingan diri.
Ada yang memiliki majikan yang baik namun persekitaran kerja yang tidak sihat dan ada pula yang sebaliknya, dalam erti kata lain susah untuk jumpa yang segalanya sempurna.
Tular video lelaki jelaskan sebab tak ambil pekerja berbangsa Melayu
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai warga asing menyarankan agar majikan dari China yang menjalankan perniagaan di Malaysia tidak mengambil pekerja berbangsa Melayu.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun X @norazambudin, segalanya bermula ketika lelaki itu mendakwa kebanyakan usahawan dari China mengalami masalahnya yang sama iaitu kesukaran mencari pekerja di negara ini.
“Ia sangat-sangat sukar untuk cari pekerja (di Malaysia) berbanding di China,” katanya menerusi video yang berserta terjemahan dalam bahasa Inggeris.
Pekerja Melayu gemar ambil cuti
Dia bagaimanapun secara tiba-tiba menyatakan majikan warga asing yang mengambil pekerja berbangsa Melayu perlu bersedia untuk mengalami ‘pengalaman yang mengubah hidup’.
Lelaki terbabit dilihat seolah-olah menyarankan para majikan dari negara tanah besar itu untuk tidak mengambil pekerja berbangsa Melayu.
Dia mendakwa pekerja Melayu gemar mengambil cuti dan terkadang memberi alasan yang tidak munasabah di sebalik itu.
Dia memberi contoh seperti kematian ahli keluarga, binatang peliharaan sakit serta terlibat dalam kemalangan dan banyak lagi.
Pekerja Melayu ikut arahan tapi hasil akhir kerja mengecewakan
Lelaki itu turut mendakwa pekerja berbangsa Melayu mengikuti arahan yang diberikan, namun hasil akhir kerja tidak seperti yang diinginkan atau tidak menjadi.
“Mereka akan mengikuti arahan anda tetapi kebiasaannya hasil kerja akhir tidak seperti yang diinginkan, awak akan rasa sangat tidak membantu,” katanya.
Dakwanya, bangsa Melayu juga tidak gemar bekerja lebih masa serta mempunyai masalah pengurusan kewangan menyebabkan mereka sering meminta gaji dibayar awal.
Tidak hanya itu, dia turut menyatakan bahawa pekerja lelaki berbangsa Melayu juga sering tiada di pejabat ketika waktu tengah hari pada hari Jumaat kerana mengerjakan solat Jumaat.
Pekerja muslim perlu dibenarkan menunaikan solat
Untuk info, selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, pekerja-pekerja muslim hendaklah dibenarkan menunaikan solat.
Menurut laman web Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, pihak majikan hendaklah memberi pelepasan kepada pekerja yang beragama Islam untuk menunaikan solat bagi masa sekurang-kurangnya 20 minit bagi waktu solat dan sekurang-kurangnya 1 jam 30 minit bagi solat Jumaat.
Bagaimanapun, pelaksanaan kewajipan seseorang pekerja beragama Islam untuk menunaikan solat dalam waktu bekerja boleh diselaraskan oleh majikan mengikut kesesuaian waktu rehat.
Kenyataan lelaki itu raih kritikan ramai
Sementara itu, memindai ke ruangan komen pada hantaran video tular itu, rata-rata pengguna media sosial mengkritik kenyataan dan dakwaan yang diberikan oleh lelaki berkenaan kepada pekerja berbangsa Melayu.
Kebanyakan mereka juga berpendapat bahawa bukanlah menjadi suatu kesalahan sekiranya pekerja menginginkan ‘work-life balance’ dengan tidak mengambil kerja lebih masa.
Malah, budaya kerja yang diamalkan di China juga tidak sepatutnya menjadi ukuran atau perbandingan dengan budaya kerja yang diamalkan di negara ini.