Alhamdulillah, Hikmah Bulan Ramadhan, Datuk Yusof Haslam Dedah Keadaan Terkini Antara Anaknya Dan Puteri Sarah
Pengarah juga penerbit, Datuk Yusof Haslam, 70, teruja mahu meraikan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi kerana anaknya, pengarah Syamsul Yusof, 41, kini kembali ke pangkuan keluarga.
Yusof berkata, pada usianya dan isteri, Datin Patimah Ismail yang semakin meningkat, mereka hanya mahu meluangkan banyak masa serta bergembira bersama anak-anak dan cucu.
“Alhamdulillah raya Aidilfitri tahun ini, Syamsul akan balik beraya dengan kami sekeluarga dan ini adalah peluang kami raya bersama semula selepas beberapa tahun dia (Syamsul) tidak balik.
“Saya dan Datin (Patimah) sangat bersyukur kerana kami satu keluarga sudah bersatu semula, insya Allah. Bahkan, lebih meriah sambutan hari raya apabila semua anak dan cucu berkumpul.
“Apatah lagi, saya pun tahun ini umur dah 70. Jadi, bila ada ruang masa bersama keluarga dengan kegembiraan dan kebahagiaan itu yang diinginkan,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Yusof ditemui hadir pada sesi rakaman program Melodi Raya 2025 di Studio 1 Balai Berita Bangsar di sini, kelmarin.
Menurut pengarah filem Sembilu ini, dia juga bersyukur melihat hubungan Syamsul dan bekas isterinya juga pelakon Puteri Sarah Liyana, 40, masih berbaik walaupun mereka sudah bercerai pada 14 Jun 2023.
“Alhamdulillah, pada Ramadan ini kami sekeluarga juga ada berbuka bersama termasuk Puteri Sarah pun hadir. Begitu juga dengan Syamsul dan besan saya yang lain pun ada.
“Jadi, suasana gembira seperti inilah yang saya mahukan walaupun masing-masing sudah bercerai. Tapi, buatlah hubungan yang ada sekarang seperti kawan.
“Jangan bermusuh dengan bekas isteri atau suami. Dunia ini kecil saja, pusing-pusing pun akan jumpa balik. Jadi, ambillah jalan untuk berdamai dan buang ego diri,” katanya.
Ujar Yusof, tidak mengapa sekiranya masing-masing sanggup mengalah dulu dengan memohon maaf demi mencari kedamaian kerana tiada siapa yang rugi dan keadaan pun tidak menjadi lebih keruh.
Selepas bercerai dengan Puteri Sarah hampir dua tahun, Syamsul yang berkahwin kali kedua bersama Ira Kazar pada 6 Januari 2023, bercerai dengan wanita itu pada 5 September tahun lalu.
Selepas lima tahun tidak pulang dan bertemu keluarganya, Syamsul bagaimanapun dilaporkan balik ke rumah bertemu ibu bapanya seminggu selepas bercerai.
Pada Februari lalu, Yusof sekeluarga dan besannya termasuk Syamsul juga berangkat ke Switzerland selama lapan hari kerana percutian bersama yang sudah dirancang oleh isterinya.
Puteri Sarah tiada masalah beraya dengan Syamsul
Pelakon, Puteri Sarah Liyana meluahkan rasa syukur apabila melihat bekas keluarga mentuanya kembali bahagia bersama bekas suaminya, Syamsul Yusof.

Menurut laporan xtra, Sarah juga tidak mempunyai masalah untuk menyambut Aidilfitri bersama pengarah tersohor itu jika ada kesempatan.
Jujur saya tiada masalah untuk kami beraya sekali. Lagipun saya tidak bermusuh dengan dia, kami okay.
Sarah juga berkata yang sekiranya dia berada di rumah keluarga mentuanya dan kebetulan Syamsul pulang, mereka tetap boleh beraya seperti biasa.
Bekas mentua rindu saat berbuka bersama

Bukan tu jer, Sarah juga turut berkongsi bahawa bekas mentuanya berasa sedih kerana tahun ini mereka belum sempat berbuka puasa bersama seperti kebiasaan sebelum ini.
Kalau dulu setiap tahun keluarga saya dan bekas mentua akan berbuka bersama-sama, tapi sekarang belum ada kesempatan lagi.
Menurut Sarah, keluarganya memahami kesibukannya dengan kerja, tetapi dalam masa yang sama, mereka tetap merindui momen berbuka bersama seperti dahulu.
Walaupun sudah berpisah, menjaga hubungan baik dengan bekas keluarga mentua adalah sesuatu yang terpuji. Hormat-menghormati antara satu sama lain boleh membawa kebahagiaan kepada semua pihak, terutama anak-anak.