
Spekulasi mengenai penyanyi Dayang Nurfaizah yang dikatakan sedang hangat bercinta akhirnya terlerai apabila empunya badan tidak menafikan sedang berkawan rapat dengan seseorang.
Ketika diajukan mengenai dakwaan bakal ke fasa seterusnya bersama si dia, Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, memilih untuk tidak mengulas panjang.
“Saya tak nafikan sedang mengenali seseorang. Saya juga tak mengiyakan atau menafikan (bakal berkahwin).
“Soal jodoh ni macam biasa dan memang kedengaran klise. Saya serahkan pada Allah SWT. Semoga peminat mendoakan yang terbaik untuk saya.
“Mungkin orang sangka saya nak kahwin sebab lagu raya saya berjudul Jodoh Di Hari Raya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert MeleTOP TVS di Bukit Jalil, pada Selasa.
Konsert percuma yang turut membariskan ramai artis terkenal itu dijadualkan berlangsung pada 17 Mei ini di Stadium Tertutup Miri, Sarawak.
Akan Kongsi Berita Gembira
Sentiasa impikan kebahagiaan dan selalu bersyukur, penyanyi lagu Separuh Matiku Bercinta itu bagaimanapun tidak akan menyembunyikan berita gembira sekiranya ada berita baik selepas ini.
“Kalau ada berita baik, jangan risau saya akan kongsikan. Benda tak baik, kita diamkan. Janji,” katanya sambil tertawa.
Terdahulu, Dayang terkait dengan gosip cinta dengan seorang penyanyi lelaki.
Namun, penyanyi lelaki terbabit sebelum ini pernah tampil menafikan perkara tersebut selain menyifatkan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar kawan rapat.
Sumber – mediahiburan