Pembekal tudung tuntut hutang RM4.65 juta daripada Fazura, dedah terima cek tendang – Sensasi
SYARIKAT pengilang tudung, Obor Holding Sdn. Bhd bertindak memfailkan tuntutan saman terhadap syarikat milik pelakon Nur Fazura selepas didapati gagal melunaskan hutang sebanyak RM4.65 juta.
Menurut pengarah urusan Obor Holding, Lim Boon Hai, 42, pihaknya mengalami kesukaran menuntut hutang daripada syarikat Pink Fate Sdn Bhd dan Fazfit Sdn Bhd sejak penghujung tahun 2023.
Malah segala usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan di luar mahkamah juga tidak berjaya apabila pihak Fazura tidak memberikan maklum balas positif.
Pembekal tudung kecewa sikap Fazura.
“Kami failkan kes ini pada bulan April lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kami juga sudah menghantar notis kepada syarikat Fazura tapi tiada maklum balas diberikan.
“Kami mula berkerjasama sejak 2022, tapi semua masalah ini timbul pada 2023 dan kami juga sudah mencuba pelbagai cara untuk menghubungi pihak sana tapi tidak berjaya.
“Kali terakhir kami berhubung dengan Fazura pada penghujung 2024 tapi tiada usaha dari pihaknya untuk menyelesikan masalah ini,” katanya ketika dihubungi mStar.
Lebih mengecewakan lagi apabila pihak Lim turut menerima cek tendang bernilai RM1 juta yang ditandatangani sendiri oleh Fazura pada September tahun lalu.
Jelasnya, kewangan syarikat juga terjejas sehingga mereka terpaksa melakukan pinjaman untuk meneruskan pengurusan.
“Ya! kami menerima cek tendang bernilai RM1 juta pada September tahun lalu. Selepas mengetahui perkara itu pihak kami cuba menghubungi Fazura agar menggunakan kaedah pembayaran yang lain namun tidak berjaya.
“Disebabkan tunggakan ini juga status kewangan syarikat kami terjejas. Kami terpaksa melakukan pinjaman kepada pihak bank selepas mengalami masalah ini,” katanya lagi.
Pihak Fazura tidak berikan kerjasama dengan baik.
Dalam pada itu, Lim juga meluahkan kekecewaan kerana terpaksa berdepan situasi seperti ini selepas berkerjasama dengan selebriti terkenal itu.
“Saya tidak akan bersuara sekiranya dakwaan ini tidak benar. Saya sangat tak sangka orang terkenal buat kami susah mendapatkan hak kami. Ini saja jalan yang kami ada,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan syarikat milik Fazura gagal membayar hutang RM4.65 juta daripada syarikat pengilang tudung milik Obor Holding iaitu Feline Malaysia
Katanya pihak Fazura hanya membayar RM2,680,167.90 dari jumlah tersebut sekali gus masih berhutang sebanyak RM4.65 juta kepada pihak Feline.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!