Keputusan yang dibacakan oleh panel hakim tersebut sebaliknya mengarahkan penyanyi berusia 50 tahun itu untuk kembali menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang telah diperkenankan oleh Sultan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas menerima rayuan terakhir Mohamad Yasin Sulaiman selaku perayu dengan mengetapikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam itu.
Selepas keputusan itu dibacakan, pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu meluahkan rasa syukur dengan memberikan ‘flying kiss’kepada ahli keluarga serta peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan sepanjang proses perundangan.
Tidak terkecuali, ahli keluarga yang sentiasa mengikuti perkembangan kes tersebut dilihat hadir memberi sokongan moral.
Anak perempuannya, Malaika yang berusia 17 tahun turut berlapang dada dengan pembebasan itu sempat melakukan sujud syukur sejurus keputusan dibacakan di galeri awam.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskan Yasin atas tiga kes dadah itu, namun mahkamah mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan hospital bahagia mengikut tempoh perkenan sultan.
Kemudian, pada 22 Ogos 2024, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Hakim, Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan itu berjalan serentak dari tarikh tangkap, 24 Mac 2022.
Susulan keputusan berkenaan, Yasin yang sebelum ini ditempatkan di hospital bahagia selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor, segera digari oleh pihak polis dan dibawa ke Penjara Kajang.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi kes kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.