WALAUPUN pelbagai usaha dilakukan untuk memadamkan api termasuk menggunakan helikopter, kebakaran Palisades di Los Angeles, Amerika Syarikat terus merebak ke kawasan baharu pada Sabtu.
Kebakaran itu kini dilaporkan merebak ke timur laut dan Lembah San Fernado sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan maut dan lebih 12,000 struktur bangunan termasuk rumah dan premis perniagaan musnah dalam kebakaran hutan yang melanda Los Angeles sejak 6 Januari lalu.
Pihak berkuasa telah memberi amaran bahawa keadaan akan bertambah buruk, dengan angin bertiup sehingga 120 kilometer sejam (km/j) diramalkan untuk beberapa hari akan datang, sekali gus menimbulkan cabaran besar bagi anggota bomba.
Situasi yang makin memburuk ini mengganggu kehidupan seharian penduduk tempatan sehingga menyebabkan penutupan sekolah dan pembatalan acara hiburan, sukan dan komuniti.
Kerajaan masih belum mengeluarkan anggaran rasmi mengenai kerosakan akibat bencana ini, tetapi penilaian oleh pihak swasta menyimpulkan angka kerugian boleh meningkat kepada puluhan bilion dolar. -Agensi
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube