Padang Terap: Jenazah dua beranak yang lemas selepas dihanyutkan air deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kanan, di sini, selamat dikebumikan dalam satu liang di sini hari ini.
Lebih 200 orang yang terdiri daripada sanak saudara, kenalan dan penduduk kampung hadir untuk menyaksikan majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah, Kampung Tanjung di sini, pada 4 petang.
Terdahulu, jenazah Muhammad Rosman Rohadi, 19, dan ibunya, Salmah Mat Zain, 46, tiba di masjid itu untuk disembahyangkan.
Bapa saudara, Md Tajuddin Awang Mohammad, 47, berkata, dia bersyukur kerana segala urusan pengebumian jenazah dua beranak itu sudah selesai.