Enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat, Eda Ezrin, yang dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dadah oleh Mahkamah Narathiwat di Thailand bulan lalu, mungkin dipanggil Polis Kelantan sebaik kembali ke negeri ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat dengan enam rakyat Malaysia itu yang masih dalam tahanan pihak berkuasa Thailand akan dipanggil untuk siasatan lanjut, termasuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Kes membabitkan mereka (enam rakyat Malaysia yang ditahan polis Thailand dalam operasi antidadah di Sungai Golok pada November tahun lalu itu) mungkin dilihat tamat apabila mereka dibebaskan dari tahanan di Thailand.
“Namun, perkara ini belum berakhir kerana pihak kami (polis Kelantan) akan memanggil mereka untuk siasatan lanjut sebaik mereka kembali ke Kelantan.
“Polis juga akan mengarahkan mereka menjalani ujian air kencing sekali lagi dan saya akan mengarahkan pegawai saya untuk melaksanakannya sebaik mereka pulang,” katanya.
Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, bersama lima rakyat Malaysia termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba dan penggunaan dadah.
Mereka mengaku salah atas pertuduhan penggunaan dadah, namun menafikan pertuduhan memiliki bahan terlarang itu.
Enam individu terbabit didakwa ditangkap bersama pil yaba ketika polis Thailand menyerbu sebuah hotel di Sungai Golok tempat mereka menginap pada 1 November tahun lalu.
Selain Eda Ezrin dan suaminya, empat lagi tertuduh ialah Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26.
Zuhaira dan Erdeka turut berdepan pertuduhan memasuki Thailand tanpa dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Pada 6 Mac, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan semua tertuduh daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba.
Bagi pertuduhan penggunaan dadah, setiap tertuduh dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 baht. Bagaimanapun, mereka tidak perlu menjalani hukuman penjara atau membayar denda kerana telah ditahan di Penjara Narathiwat selama lebih empat bulan.
Pada 8 April, Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan rayuan pihak pendakwa raya Thailand untuk melanjutkan tempoh tahanan keenam-enam rakyat Malaysia itu selama sebulan lagi bermula 6 April.
Lanjutan bertujuan memberi lebih banyak masa kepada pihak penyiasat untuk mengumpul bukti yang boleh mengaitkan enam rakyat Malaysia berkwenaan dengan pemilikan 6,059 biji pil yaba.