‘Bella ajak saya temankan dia’ – Mangsa tampil cerita hal sebenar

Mangsa tampil kongsi beri penjelasan berhubung insiden serangan itu dengan Caprice.
Seorang lelaki yang menjadi mangsa pukul oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Plentong, Johor, akhirnya tampil memberikan penjelasan menerusi panggilan video bersama selebriti dan aktivis media sosial, Caprice.
Mangsa menafikan dakwaan yang mengatakan dia telah meninggal dunia, dan memaklumkan bahawa dia baru sahaja menjalani rawatan termasuk beberapa jahitan di bahagian muka akibat kecederaan dipukul.
Menurut pengakuan mangsa, insiden tersebut berlaku selepas dia berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai “Bella” menerusi TikTok.
Hubungan mereka hanya berlangsung sekitar seminggu dan belum pernah bertemu secara fizikal sebelum itu. Namun, Bella dipercayai mengajaknya datang ke rumah dengan alasan mahu ditemani kerana tidak sihat.
Namun sebaik tiba di rumah wanita itu, tiga lelaki tidak dikenali muncul dan mula menyerangnya tanpa penjelasan. Dia telah dipukul, selain turut diperas ugut sebanyak RM3,000 dan motosikal miliknya turut dirampas
Disebabkan hanya mempunyai RM600 ketika itu, wang tersebut diserahkan kepada kumpulan tersebut.
Caprice dalam hantaran video tersebut menyifatkan kejadian ini sebagai satu pengajaran penting kepada orang ramai, terutamanya pengguna media sosial.
“Kalau ada orang tak dikenali ajak datang rumah, jangan pergi. Kena lebih berhati-hati dengan orang yang baru kenal dalam talian,” katanya
Susulan insiden tersebut, satu laporan polis dibuat oleh mangsa, lengkap dengan bukti rakaman video yang dipercayai dirakam sendiri oleh Bella. Video tersebut mencetuskan kemarahan netizen yang mendesak agar tindakan segera diambil terhadap sekumpulan lelaki terbabit