
YDP Agong tegaskan kesilapan boleh cetuskan sensitiviti rakyat, Tindakan seterusnya dari Menteri KDN
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim (YDP Agong) menzahirkan rasa amat kesal terhadap kesilapan serius yang dilakukan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan apabila memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan.
YDP Agong tegaskan kesilapan boleh cetuskan sensitiviti rakyat
Menerusi perkongsian dalam media sosial rasmi baginda, Seri Paduka dengan tegas menyatakan bahawa kesilapan sebegini sememangnya boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah baginda.
YDP Agong sifatkan bendera lambang kedaulatan
Baginda turut menekankan bahawa bendera bukan hanya sekadar hiasan semata-mata, sebaliknya lambang kedaulatan, perjuangan dan semangat rakyat Malaysia.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.”
“Bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara,” titah baginda lagi.
Susulan daripada itu, YDP Agong telah mengingatkan agar pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar terlibat lebih peka dan teliti dalam menyemak bahan siaran sebelum diterbitkan untuk mengelakkan insiden yang boleh menyinggung rakyat.

Kesilapan yang berlaku melibatkan Jalur Gemilang itu bukan sahaja mendapat kecaman hebat daripada orang ramai, malah telah mencetuskan perbincangan hangat di media sosial kerana ia disifatkan sebagai tindakan tidak peka terhadap simbol kebangsaan.
KDN panggil Sin Chew Daily, mulakan siasatan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan terhadap Sin Chew Daily berkaitan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar bertarikh 15 April.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dijalankan bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” kata KDN dalam kenyataan.
Serentak itu KDN telah memanggil pihak Sin Chew Daily hari ini bagi tujuan siasatan dan satu Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan.
KDN menurutnya, tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
Jelas beliau, Jalur Gemilang bukan sekadar simbol sebalikya menjadi lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional yang wajib dihormati serta dimartabatkan.
Pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.
Banyak pihak hari ini mengkritik ilustrasi yang dipaparkan dalam akhbar cetak Sin Chew Daily selepas ketiadaan bulan sabit yang menjadi lambang kepada agama Islam sebagai agama rasmi negara pada Jalur Gemilang.
Pakar bahasa dan perpaduan, Datuk Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, permohonan maaf semata-mata tidak memadai bagi kesalahan yang disifatkan amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku itu.