Ishrahel isytihar darurat, sambutan kemerdekaan serta merta dibatalkan

Ketika kebakaran hutan masih belum reda sepenuhnya, Israel berdepan pula ribut pasir yang melanda beberapa kawasan selatan negara itu pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.
Menerusi rakaman video yang disiarkan media tempatan memaparkan ribut pasir kuat menyelubungi bandar Beersheba di Gurun Negev, selatan Israel.
Dalam salah satu klip, bandar gurun itu kelihatan ditelan secara perlahan oleh awan debu tebal, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Menurut portal berita Channel 12, memaklumkan anggota tentera dilihat bergelut menutup pintu pagar sebuah pangkalan tentera di Pangkalan Shivta ketika ribut pasir melanda.
Difahamkan, ribut pasir dengan angin yang kuat mengakibatkan situasi bertambah buruk termasuk jarak penglihatan terhad.
Kebakaran Hutan Terburuk Dalam Sejarah Israel
Dalam masa yang sama, pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan yang merebak pantas di kawasan antara Baitulmaqdis dan Tel Aviv. Keadaan itu diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang dan cuaca panas melampau.
Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Baitulmaqdis, Shmulik Friedman, kebakaran kali ini berkemungkinan merupakan yang terbesar dalam sejarah Israel.
Radio Tentera Israel melaporkan bahawa skala kebakaran yang berlaku adalah luar biasa dan menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pihak berkuasa.
Susulan itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan mengarahkan angkatan tentera untuk membantu operasi memadam kebakaran, terutamanya di kawasan berbukit di Baitulmaqdis.
Sambutan Kemerdekaan Israel Dibatalkan
Kerajaan Israel turut mengambil keputusan membatalkan semua sambutan Hari Kemerdekaan yang dijadualkan berlangsung minggu ini.
Sebelum ini, pihak berkuasa Israel telah memindahkan penduduk dari beberapa kawasan tengah negara itu berikutan kebakaran yang semakin merebak.
Kebakaran tersebut telah memusnahkan kira-kira 2,500 ekar tanah dan menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang cedera