Waktu Solat Mengikut Matahari – Penetapan waktu solat adalah berdasarkan kepada sumber asal iaitu al-Quran dan al-Hadith. Berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan, para fuqaha’ (ahli feqah) telah membuat tafsiran supaya waktu solat dapat diamalkan oleh masyarakat dengan lebih mudah. Kemudian tafsiran fuqaha’ disesuaikan dengan ilmu astronomi (falak) supaya boleh ditentukan dengan kaedah kiraan (hisab).
Perincian terhadap batas-batas waktu solat mengikut matahari telah dijelaskan oleh hadis Rasulullah SAW. Secara khususnya, batas-batas waktu solat ini adalah mengikut pergerakan matahari yang merujuk kepada satu titik tertentu. Seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ:” وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرِ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبِ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلاَةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلاَةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعِ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتِ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنِ الصَّلاَةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَىْ شَيْطَانٍ”.
Maksudnya: Daripada Abdullah ibni Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Waktu Zuhur ialah apabila matahari tergelincir sehingga bayang-bayang seseorang sama panjang dengan badannya selama waktu Asar belum tiba.Waktu Asar ialah selama cahaya matahari belum warna kekuningan.Waktu maghrib ialah selama mega merah belum lenyap, dan waktu Isyak ialah sehingga tengah malam kedua, sedangkan waktu Subuh bermula sejak terbit fajar hingga matahari terbit. Jika matahari terbit, maka hentikanlah solat kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”Sahih Muslim (612)
Waktu solat mengikut matahari
Waktu Matahari Istiwa
- Matahari istiwa (rembang/transit) adalah ketika pusat matahari melintasi satah Meridian Samawi Tempatan. Meridian Samawi Tempatan adalah unjuran Longitud Stesen Tempatan. Waktu istiwa boleh ditentukan secara fizikal dengan melihat pergerakan bayang-bayang sesuatu tiang yang tegak.
- Ketika istiwa, bayang tiang berada pada ukuran paling pendek. Sebelum bayang tiang ini berpindah ke sebelah timur adalah menandakan waktu istiwa. Stesen rujukan di bumi adalah ditetapkan berdasarkan satu sistem koordinat geografi yang parameternya ialah latitud (garis lintang) dan longitud (garis bujur).
Waktu Solat Zohor Mengikut Matahari
- Masuk waktu solat Zohor adalah ketika matahari gelincir ke arah barat daripada kita iaitu ketika pinggir timur matahari melintasi Meridian Samawi Tempatan.
Waktu Solat Asar Mengikut Matahari
- Mengikut Mazhab Shafie, masuknya waktu solat Asar adalah apabila panjang bayang sesuatu tiang melebihi panjang tiang tersebut. Secara fizikal, waktu Asar boleh ditentukan dengan menggunakan tiang tegak yang sama dengan yang digunakan pada waktu istiwa.
- Waktu Asar bermula apabila panjang bayang yang ditunjukkan oleh tiang tegak melebihi ukuran tiang itu sendiri dan dicampurkan dengan panjang bayang sewaktu istiwa.
Waktu Solat Maghrib Mengikut Matahari
- Mengikut hukum fekah, masuknya waktu solat Maghrib adalah apabila semua badan matahari terbenam di bawah ufuk barat.
Waktu Solat Isyak Mengikut Matahari
- Menurut syarak, masuknya waktu solat Isyak adalah apabila mega merah di ufuk barat hilang.
Waktu Solat Subuh Mengikut Matahari
Awal waktu solat Subuh mengikut syarak adalah bila fajar benar (sadiq) terbit di ufuk timur.
Sangat perlu untuk kita ketahui cara menentukan waktu solat mengikut matahari untuk menambahkan keyakinan kita ketika masuk waktu solat.
Selain daripada mentukan waktu solat mengikut matahari, anda boleh rujuk waktu solat di website waktusolat.my.
Website waktusolat.my ini memberikan kita jadual waktu solat yang tepat
Baca Juga: