Sudah Mampu Sara Sendiri Keluarga, Asnaf Mahu Tarik Diri Dari Terus Terima Bantuan
Mengeluarkan zakat fitrah merupakan perkara keempat dalam lima perkara Rukun Islam. Menurut Majlis Agama Islam Johor, hukum membayar zakat fitrah adalah kewajiban fardhu ais ke atas setiap orang Islam.
Kutipan daripada kewajipan yang dikerjakan sepanjang Ramadan ini kemudian akan diagihkan kepada para penerima yang dikenali sebagai asnaf.
Selaku penerima zakat, mereka yang berdepan dengan kesempitan ini dapat menjalani hidup dengan lebih baik seperti insan-insan yang lain.
Namun begitu, tidak bermakna semua mereka yang hidup susah ditakdirkan hidup susah untuk selama-lamanya. Ada juga yang berjaya memperbaiki hidup menerusi bantuan yang diterima dan berjaya keluar dari belenggu kesempitan hidup.
Baru-baru ini, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan berkongsi kisah tentang penerima bantuan bulanan MAINS (Daerah Rembau) sejak tahun 2012 sehingga bulan April 2024.
Menerusi laman Facebook rasmi MAINS, penerima bantuan yang dikenali sebagai Puan S hadir ke pejabat itu bagi menyatakan hasrat, sekaligus keinginan untuk keluar daripada menjadi asnaf dan menerima bantuan bulanan.
Keputusan itu diambil wanita berkenaan selepas kehidupannya bertambah baik dan kini sudah mampu menyara keluarganya sendiri.
Malah, anak bongsunya juga sudah tamat pengajian diploma pada penghujung 2023.
“Kami mendoakan beliau terus dimurahkan rezeki dan menjadi contoh kepada semua asnaf yang lain
“Terima kasih juga kepada semua pembayar zakat,” ujar Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Kadar zakat fitrah mengikut negeri-negeri bagi tahun 2024
Seperti yang kita ketahui, kadar bayaran zakat fitrah berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri di negara ini.
Negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Pahang dan Kelantan memiliki kadar bayaran zakat fitrah sama pada tahun 2024.
Menurut portal Sinar Harian, kadar minimum bagi kelima-lima negeri ini adalah RM7 (Beras Tempatan), RM14 (Beras Import) dan RM21 (Beras Basmathi).
Manakala di Kedah pula, umat Islam yang tinggal di negeri itu perlu membayar zakat fitrah pada kadar RM7, RM14.50 atau RM22.
Di Wilayah Persekutuan, kadar zakat fitrah yang ditetapkan pula adalah sebanyak RM7, RM15 dan RM22.
Bagi Negeri Sembila, kadar bayaran zakat yang dikenakan adalah sebanyak RM7, RM12,50 atau RM22.
Johor mengenakan kadar bayaran zakat fitrah paling rendah bagi individu yang menggunakan beras import dan basmathi sebagai makanan ruji (RM7, RM12 dan RM20).
Seterusnya, Perak merupakan negeri yang menetapkan kadar bayaran zakat fitrah sebanyak RM8, RM16, RM24.
Di Terengganu, dua kadar zakat fitrah ditetapkan pada tahun ini iaitu RM10 dan RM22.
Tiga buah negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Perlis hanya menetapkan satu kadar bayaran zakat fitrah buat penduduknya. Kadar bayaran zakat di Perlis adalah RM7, manakala Sabah dan Sarawak pula menetapkan kadar sebanyak RM7.50.
Sumber Siakapkeli