Salah satu larangan ketika ihram, Hikmah mengapa dilarang menggunakan sabun wangi ketika sedang ihram. Menggunakan sabun wangi untuk membersihkan tangan dan badan, ada yang mengatakan boleh semasa di dalam ihram. Namun hari ini, kita sudah ada pilihan sabun dan syampu tanpa pewangi yang dibuat khusus untuk jemaah haji.
Biasanya, tujuan pemakaiannya untuk membersihkan tangan dan selepas buang air. Masakan tidak boleh gunakan sabun wangi tersebut sedangkan niatnya bukanlah untuk berwangi-wangian sebaliknya untuk membersihkan.
Larangan Ketika Ihram Walaupun Bukan Dengan Niat
Pendapat yang dilontarkan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd Arif Nazri mudah saja, fungsi sabun adalah untuk membersihkan dan menghilangkan kotoran, minyak, daki dan menyegarkan badan. Manakala fungsi wangi sabun itu sebagai tambahan. Jika kita gunakan sabun wangi ia tetap berbau wangi walaupun niatnya bukan untuk berwangian.
Jadi pilihan yang terbaik tetap sabun yang tidak mempunyai wangian. Kita ada pilihan antara wangi dan tidak berbau, kerana fungsi sabun adalah untuk menanggalkan kotoran dan membersihkan keringat semasa ihram manakala wangiannya adalah fungsi tambahan. Kedudukannya adalah seperti minyak wangi juga.
Walaupun niatnya bukanlah untuk berwangi-wangian namun ianya adalah satu larangan ketika ihram apabila memakainya, di sini bukan masalah niat. Sebenarnya sudah memang benda itu wangi dan tetap dipanggil wangi. Halnya sama juga dengan minyak wangi yang tidak terhad dalam bentuk calitan dan semburan saja. Ia juga boleh ditukar dalam bentuk sabun yang fungsinya sama.
Sepatutnya penggunaan sabun wangi itu dielakkan kerana ia masih dipanggil wangian. Kita kena gunakan sabun yang tidak berbau, itu lebih tepat kerana kita sedang berihram. Sebelum berniat ihram, masih boleh mengenakan atau menggunakan sabun atau apa saja yang wangi.
Namun apabila sudah berniat ihram sepatutnya sudah tidak ada lagi kaitan dengan penggunaan wangi-wangian sehingga Rasulullah memerintahkan baju yang terkena wangi-wangian dibasuh. Semasa berihram kita adalah kita yang asli tidak ada lebihnya kita dengan jemaah lain.
Kerana penggunaan wangi-wangian adalah lambang kemewahan dan diri seseorang. Bila haji semuanya sama tidak ada perbezaan darjat. Untuk lebih berhati-hati, lebih baik ambil yang tidak mempunyai wangi-wangian.
Akhirnya, Dr. Arif menyimpulkan, apabila Nabi menyebut kebersihan sebahagian dari iman, maka antara perkara yang mencantikkan iman ialah wangi-wangian. Apabila berihram bermakna kita menjadi tetamu Allah, ketika musim haji kita kena ingat bahawa Allah yang paling tinggi dan agung manakala manusia ketika itu sama darjatnya walaupun ia seorang raja.
Namun kerana Allah itu baik tidak menerima selain kebaikan maka untuk menambah kebaikannya antara sunahnya untuk berwangian sebelum memasuki ihram sesuai dengan falsafah menjadi tetamu Allah. Apabila telah jadi tetamu Allah maka kita kena ikut segala peraturan bertandang di hadapan Allah.
Ada dua benda yang kena diingati. Pertama, sunah dalam beribadat berwangi-wangi. Kemudian apabila sudah masuk ke dalam ihram maka ianya menjadi larangan ketika ihram yang kita kena ikut peraturan bahawa manusia semuanya satu darjat. Memakai wangian adalah di larang ketika ihram dilarang kerana manusia semuanya satu darjat.
Ujarnya, ibadat haji dan umrah, ibadat yang sepatunya dilalui dengan ilmu dan tidak dengan kejahilan sebab Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Ambil dari ku segala kerja-kerja kamu.”
Kita begitu ketat dan terikatnya kita di dalam menjalani ibadat haji dengan apa yang Rasulullah tunjukkan. Malangnya, ramai melakukan penyimpangan di dalam ibadat tersebut kerana kejahilan dan melanggar larangan ketika ihram. Wallahu a’lam
itulah salah satu larangan ketika ihram yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW kepada kita. ibadah ini memerlukan sumber yang sahih daripada nas dan dalil yang bersanad dan tidak diseleweng, Wallahualam…
Baca Juga: kelebihan surah al insyirah