Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang pemuda dipukul sekumpulan individu di sebuah pangsapuri di Plentong Baru, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa berusia 21 tahun pada Sabtu.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam apabila mangsa pergi ke sebuah rumah pangsapuri itu selepas dijemput seorang kenalan wanita menerusi aplikasi media sosial.
“Sebaik tiba, mangsa dikurung sebelum dipukul lapan individu tempatan hingga mengalami kecederaan di bahagian bibir, telinga kiri dan lebam pada badan.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Plentong, Seri Alam sekitar jam 11.14 malam, pada Sabtu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menahan kesemua suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun sekitar jam 2.30 pagi, pada Ahad.
“Hasil semakan mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian air kencing pula mendapati empat positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua suspek kini direman selama enam hari sehingga 26 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342, 385 dan 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seorang pemuda dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Pasir Gudang, di sini.
Video dalam tempoh antara satu ke dua minit menunjukkan mangsa kelihatan lemah dan tidak melawan, dipukul bertubi-tubi oleh kira-kira lima hingga tujuh individu.
Sumber – Sinar Harian