Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu kesilapan menyiarkan imej Jalur Gemilang tak lengkap tidak boleh dipandang ringan kerana bendera merupakan simbol kedaulatan dan maruah negara.
Beliau yang sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Thailand turut mengingatkan semua pihak agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil mudah sebarang kesilapan melibatkan Jalur Gemilang.
“Untuk mana-mana negara pun, soal bendera ini adalah simbol yang sangat penting. Ini bukan perkara remeh, biarlah proses undang-undang dijalankan,” katanya, hari ini.
Kredit Foto: BERNAMA
Jalur Gemilang tak lengkap: Ini bukan soal ringan!
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar berbahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily, tiga hari lalu.
Beliau menegaskan siasatan perlu diteruskan mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya tanpa sebarang tekanan atau tindakan berlebihan.
“Saya juga telah nyatakan bahawa kita tidak boleh bertindak secara berlebih-lebihan hanya kerana ada desakan tertentu. Ia perlu ikut proses undang-undang,” katanya lagi.
Kredit Foto: Bangkok Post
Pada Selasa lalu, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia. Namun, imej bendera tersebut didapati tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit.
Insiden berkenaan menerima pelbagai reaksi termasuk teguran daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah bahawa pihak pengurusan dan jabatan editorial akhbar tersebut seharusnya lebih teliti serta menyemak kandungan sebelum ia diterbitkan.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada masalah teknikal yang tidak disengajakan.
Susulan itu, dua pengarang kanan akhbar berkenaan iaitu Ketua Pengarang, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting, Tsai Shwu San digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai.
Sumber: BERNAMA (Kenny Teng)