SEPANG – [DIKEMAS KINI] “Masuk penjara umpama dobi untuk cuci hati,” kata pelakon dan pelawak, Along Cham ketika ditempatkan di Penjara Sungai Buloh lebih sebulan.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata demikian selepas Mahkamah Majistret di sini pada Isnin membenarkannya untuk dilepaskan sementara dengan jaminan sebanyak RM5,000 bagi dua kes dadah.
Selebriti itu berkata, kes ini menyebabkan kerjayanya terjejas sedangkan dia mempunyai projek untuk industri filem bersama ibu angkatnya yang juga pelakon, Didie Alias.
“Tak sangka ketika sibuk ini, saya pula direhatkan, mungkin ini dugaan dan ujian ALLAH, saya masuk ‘dobi’ (penjara) untuk cuci hati.
“Terima kasih juga kepada pembenci saya, banyak juga fitnah yang saya dengar walaupun ketika berada di Penjara Sungai Buloh,” katanya.
Dia berkata, selepas ini usaha tertumpu kepada langkah-langkah untuk membersihkan namanya.
Bukan itu sahaja, anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, dia akan mengeluarkan filem kisah benar mengenai dirinya.
“Ketika saya melangkah masuk ke penjara, ada yang gembira dan bertepuk tangan, namun saya serah bulat-bulat dan yakin ALLAH mengetahui segala-galanya,” kata pelakon program realiti TV itu.
Sejurus membayar ikat jamin itu, dia memeluk ibu, isteri, anak lelakinya dan rakan-rakan artis lain antaranya Angah Raja Lawak dan Didie Alias.
Along berkata, di penjara, wang ringgit tidak lagi bernilai, namun sokongan moral daripada Jabatan Penjara Malaysia termasuk penghuninya, memberi semangat untuk dia terus menjadi kuat.
Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!
Sementara itu, peguam, Kamal Hisham Jaafar yang mewakili Muhammad Nizamudin berkata, anak guamnya kini berdepan tiga kes dadah iaitu dua memiliki dan satu memasukkan dadah.
“Alhamdulillah, Along telah diberi dibebaskan sementara dengan jaminan, ini memberi peluang kepadanya untuk membersihkan nama daripada fitnah-fitnah yang ada.
“Selaku peguamnya, saya percaya Along berada di pihak yang benar dan kami akan buktikan dia tidak bersalah,” katanya yang turut hadir bersama peguam-peguam, Muhammad Nor Tamrin, Mohd Zali Shaari dan Syed Yusuf Syed Zaid.
Sementara itu, isteri Muhammad Nizamudin, Afreena melahirkan rasa syukur kerana suaminya dapat pulang ke pangkuan dan anak-anak.
“Syukur Alhamdulillah, ini yang saya mahukan sejak Disember lalu, saya dapat merasakan dia akan pulang.
“Sebelum ini, perasaan saya bercampur-baur dan gementar, tetapi dia berhak untuk keluar kerana tempatnya adalah di rumah bukan di penjara,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61gram di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu, dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum 39(A)(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Sek 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Pada 20 Disember tahun lalu, dia dituduh atas satu pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 2.07 gram, di lokasi sama, masa dan tarikh serupa.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan