SUSULAN kontroversi berpelukan dengan usahawan sensasi Kak KM, pelawak Saiful Apek tampil membuat permohonan maaf atas tindakannya itu.
Saiful atau Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 55, berkata, dia bertanggungjawab atas segala tindakan dilakukannya dan berharap masyarakat tidak mengaitkan keluarganya dalam isu tersebut.
“Saya dengan setulus hati apa sahaja kesilapan berlaku dan sedang tular sekarang ini, khilaf itu datang daripada saya sendiri.
Saiful bertanggungjawab atas tindakannya sendiri.
“Saya harap kalau boleh jangan ditempiaskan (kaitkan) kepada mereka termasuk keluarga dan rakan seperjuangan.
“Saya memikul tanggungjawab itu dan saya sendiri harus memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Lihat saya sebagai seorang manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya.
Saiful berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok Komuniti Dakwah Tarbiah.
Dalam pada itu, Saiful memberitahu sebagai manusia dia tidak lari daripada melakukan kesilapan namun mengambil ikhtibar dengan setiap perkara berlaku.
Kata Saiful, manusia tidak terlepas dengan ujian dan menganggap setiap perkara buruk yang berlaku adalah datang daripada dirinya sendiri.
“Tidak ada alasan untuk saya memanipulasi atau menuding jari. Saya tidak kira sebenarnya bila jelas benda itu salah, salah tetap salah.
“Saya akui ialah yang buruk datang dari kita, yang baik dari Allah SWT. Kita harus bertanggungjawab sebab dalam kita melalui proses ini, kita akan sentiasa diuji.
Tular video memaparkan aksi Saiful dan Kak KM berpelukan.
“Kita tidak terlepas daripada sifat lalai, khilaf. Paling penting untuk kita muhasabah diri. Ada empat inti pati, yang pertama menyedari, kemudian menyesali, ketiga mengakui dan memperbaiki,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan sebuah video Saiful berpelukan dengan Kak KM atau Liana Rosli dalam sebuah acara.
Aksi berpelukan itu mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen apatah lagi mereka masing-masing mempunyai pasangan.