Pelajar tingkatan 5 bunuh ibu dan abang, tikam adik kerana dipaksa belajar
MELAKA – Faktor tekanan oleh ibu dan abang yang sering memaksanya belajar dipercayai menjadi motif pembunuhan kejam dua beranak di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini pagi tadi.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi, suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan di rumahnya yang didiami bersama mangsa yang juga ibu tunggal.
Menurutnya hasil siasatan awal mendapati suspek dalam keadaan termenung di hadapan rumahnya ketika ditahan pagi tadi sebelum mengaku menikam ibunya yang juga seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina berusia 51 tahun dan abangnya, 21, serta cuba membunuh adiknya berumur 13 tahun.
“Motif pembunuhan disebabkan oleh perasaan dendam yang terpendam akibat tekanan perasaan kerana suspek akan menduduki SPM tahun ini sering dipaksa belajar oleh ibu dan abangnya.
“Suspek dipercayai menikam ibunya beberapa kali di leher, pinggang dan belakang badan menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter yang di bawa dalam beg sekolahnya dan perancangan itu sudah dibuat lebih awal.
“Kejadian kemudian disedari abangnya yang cuba menyelamatkan guru berkenaan namun dia mati dengan beberapa kesan tikaman sebelum dua beranak itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, adik suspek, lelaki berusia 13 tahun turut cedera parah apabila dia ditikam ketika cuba menghalang tindakan suspek terhadap dua beranak itu.
“Mangsa bagaimanapun stabil sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan siasatan turut mendapati kejadian dirakamkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran.
“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek juga dilihat cuba untuk membuang barang kes (pisau) serta beberapa lagi barang lain namun yang sempat dirakamkan CCTV dan kita sudah menjumpati semula barang kes terbabit.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika kejadian,” katanya.
Tambahnya, suspek akan direman di Kompleks Mahkamah Melaka, esok untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber : MalaysiaGazette