Pemuda Cina ditampar pakcik berjubah, marah makan waktu siang di bulan puasa… Siap minta tunjuk MyKad

Pemuda Cina ditampar pakcik berjubah, marah makan waktu siang di bulan puasa… Siap minta tunjuk MyKad

BELUM reda dengan kes pelajar sekolah dipukul sehingga patah tulang hidung, terbaharu tular pula video memaparkan seorang pemuda dilempang lelaki berpangkat ‘pakcik’ hanya kerana dia menikmati makanan di siang hari.

Menerusi satu bebenang di laman X, pemuda yang menggunakan akaun @bingbinge656 berkata, insiden tersebut berlaku di sebuah kedai serbaneka yang terletak di pusat beli-belah Angsana Mall, Johor Bahru.

“Saya hanya makan secara biasa dan pakcik tu tanya saya orang Cina ke tak. Saya jawab ya sebab itu soalan biasa. Lepas tu dia nak saya tunjukkan kad pengenalan (IC) saya walaupun kita tak boleh tunjuk IC kepada orang yang tidak dikenali.

“Lepas tu tanya kalau saya Islam atau bukan Islam, dan marah kenapa makan pada bulan puasa ni.

“Saya bukan Islam dan saya tak ganggu dia. Tapi dia tampar saya beberapa kali pula,” tulisnya dalam hantaran yang dikongsikan pada Ahad.

Tambah pemuda tersebut, dia bersyukur kerana anak kepada warga emas tersebut tampil meleraikan situasi dan memohon maaf bagi pihak bapanya.

“Saya boleh terima permohonan maaf tu tapi saya tak boleh lepaskan benda ni.

“Pak cik tu dah tidak menghormati saya dan tampar saya di tempat awam,” tulisnya lagi.

Dia turut memuat naik dua video memaparkan insiden berkenaan yang sehingga kini meraih lebih 2.4 juta jumlah tontonan.

Susulan perkongsian berkenaan, netizen tampil meluahkan rasa geram dan mengecam tindakan warga emas tersebut yang sewenang-wenangnya mengambil tindakan sendiri sehingga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

Malah mereka turut membuat pautan kepada akaun media sosial rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta menteri berkaitan agar mengambil tindakan tegas kepada pelaku.

Dalam perkembangan terbaharu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, insiden berkenaan merupakan satu bentuk provokasi serta prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum.

Menurutnya, mangsa juga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi.

Ujarnya, polis akan menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Lepas Tekan Tutup, Jika web berubah jangan tekan "x" kat paling atas. tapi "tekan kembali" je kat screen bawah phone sampai masuk ke artikel semula
sambung baca tanpa ganguan...