Pengalaman dalam lokap jentik hati peluk Islam

Pengalaman dalam lokap jentik hati peluk Islam

 

Kota Bharu: Pengalaman ditahan reman selama tujuh hari dalam lokap membawa kepada lembaran hidup baharu buat S Vijay Supaiah apabila mula mengenali Islam dengan lebih mendalam.

Melihat seorang tahanan reman lain menunaikan solat lima waktu sehari selain solat sunat di dalam lokap menarik perhatian S Vijay, 43, seterusnya bertanyakan tujuan solat kepada lelaki terbabit.

Sebaik dibebaskan, S Vijay yang berasal dari Kluang, Johor itu memberitahu isterinya bahawa dia ingin memeluk Islam namun mengambil masa kerana ingin mendalami mengenai Islam terlebih dahulu.

S Vijay berkata, dia mula mendalami Islam dengan merujuk kepada agamawan selain sering menghadirkan diri ke masjid dan selepas tiga tahun pencariannya, dia akhirnya memeluk Islam pada 2022 dan menggunakan nama Mohd S Vijay.

“Saya bersama isteri dan lapan anak ketika itu menaiki bas dari Johor datang ke Kelantan untuk memeluk Islam dan pada mulanya hanya saya dan anak perempuan sulung sahaja yang mengucap dua kalimah syahadah

“Beberapa minggu selepas itu, isteri serta anak yang lain turut menyusul dan selepas bergelar Muslim, kami sekeluarga terus menetap di Kelantan kerana bagi kami, negeri ini sangat sesuai untuk mendalami Islam,” katanya.

Mohd S Vijay yang menyara hidup sebagai penjual cendol berkata, berlaku tentangan daripada keluarga kedua-dua belah pihak namun lama-kelamaan mereka dapat menerimanya.

Mengakui adakalanya iman naik dan turun, namun dia menguatkan semangatnya dengan kerap hadir ke masjid kerana baginya dengan cara itu sahaja dapat mengubati ‘kerinduannya’ terhadap keseronokan lalu.

“Dulu saya kerap terbabit dengan perkara yang tidak elok namun kini secara automatik saya hentikan terus semua perbuatan dilarang agama Islam.

“Sebab itulah saya membawa keluarga datang ke sini kerana menganggap sangat sesuai untuk terus istiqamah tambahan pula banyak tempat pengajian yang boleh dikunjungi untuk kami mendalami lagi pasal Islam,” katanya yang ditemui di pejabat urusan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Kelantan, di sini.

Mohd S Vijay yang kini berdepan dengan faktor kesihatan iaitu buah pinggang tahap tiga selain masalah jantung menganggap semua itu adalah ujian dan langsung tidak menyalahkan takdir.

Dia percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang dan doanya setiap hari supaya mereka sekeluarga terus istiqamah selain dipermudahkan segala urusan.

“Allah sudah pilih saya dan keluarga untuk jalani hidup sebegini, Alhamdulillah. Semua yang berlaku pasti ada hikmah,” katanya.

Sumber hmetro

Lepas Tekan Tutup, Jika web berubah jangan tekan "x" kat paling atas. tapi "tekan kembali" je kat screen bawah phone sampai masuk ke artikel semula
sambung baca tanpa ganguan...