Penyanyi dialek Kelantan bersama suami dan empat rakan berdepan Hukuman Dan Dendan
PERMOHONAN bagi mendapatkan perintah tahanan reman penyanyi popular di Kelantan bersama suami dan empat lagi rakan mereka diluluskan Mahkamah Wilayah Narathiwat pada Isnin.
Keenam-enam suspek direman sehingga tiga bulan atau 84 hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan 6,000 pil kuda ketika serbuan dibuat pihak berkuasa di sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November lalu.
Kesemua mereka akan dibawa ke sebuah penjara di Narathiwat sepanjang proses reman.
Jurucakap mahkamah berkata, tempoh reman tiga bulan itu perlu bagi membolehkan pihak polis mengambil masa menyelesaikan kes berkenaan.
Keenam-enam suspek dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat pada pagi Isnin.
“Pelanjutan ini akan membolehkan polis Thailand menyiasat kes itu secara menyeluruh.
“Pegawai penyiasat boleh menyoal siasat suspek setiap 12 hari dalam tempoh ini,” katanya.
Tambah jurucakap itu, pihak polis hanya boleh meneruskan kes itu apabila bukti mencukupi dan berjaya dikumpulkan.
Malah pihak keluarga juga boleh memohon ikat jamin terhadap kesemua suspek yang nilainya akan ditentukan mahkamah.
“Keluarga suspek boleh memohon jaminan, walaupun jumlahnya akan ditentukan oleh mahkamah,” jelasnya.
Di bawah undang-undang Thailand, memiliki 6,000 pil boleh membawa kepada hukuman penjara 10 hingga 15 tahun, berserta denda $200,000 baht (RM25,880).
Sementara itu, jurucakap polis Thailand berkata, pihak berkuasa sedang mencari dua lagi suspek yang berjaya melarikan diri ketika serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok.
Individu berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan enam rakyat Malaysia yang ditahan.
Pada pagi Isnin seorang penyanyi popular Kelantan bersama suami dan empat lagi rakan mereka dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand bagi mendapatkan perintah reman.
Sebelum ini media melaporkan seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand.
Suspek ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok.
Mereka ditahan bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada pagi 1 November.
Kesemua suspek melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 32 tahun ditahan selepas mereka dikatakan selesai berhibur di sebuah pusat hiburan.
Sumber berkata, ketika serbuan pada pukul 5 pagi itu mereka yang ditahan sedang berehat di dalam bilik.
Selepas siasatan dijalankan, jurucakap polis memberitahu kesemua suspek didapati positif dadah dan akan mendapatkan perintah reman terhadap keenam-enam individu tersebut di sebuah mahkamah di Narathiwat.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!