Polis buru pengguna Facebook muat naik komen menghln4, siap ajak b0m masjid ketika solat jumaat
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JAKIM menjelaskan pihaknya telah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tindakan dapat diambil terhadap pemilik akaun tersebut.
Minggu ini sahaja, banyak kisah panas yang menjadi topik bualan pengguna media sosial.
Apatah lagi, kebanyakan isu yang berlaku dilihat boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan masyakat di negara ini.
Dari isu ilustrasi bendera Malaysia yang tidak lengkap dengan elemen bulan sabit di akhbar tempatan sehinggalah ke kenyataan pengguna Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA), semuanya masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.
Terbaharu, muncul isu seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Lyan Liu yang memuat naik komen berunsur penghinaan malah siap mengajak bom masjid ketika solat Jumaat.
Polis Buru Pemilik Akaun Lyan Liu, Cuba Gugat keharmonian
Susulan itu, polis memburu pemilik akaun berkenaan dengan nama Lyan Liu yang telah menimbulkan kemarahan ramai dek kerana komennya yang tidak menjaga sensitiviti.
Perbuatan jahat individu terbabit yang dilihat cuba menggugat keharmonian disedari oleh seorang peniaga yang berusia 68 tahun.
Dia kemudiannya terus membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang, Melaka pada jam 5.11 petang semalam (17 April).
Jelas peniaga berkenaan, dia bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan komen yang dilontarkan oleh individu terbabit apatah lagi melibatkan agama.
“Ini melibatkan soal agama memang saya tidak berpuas hati dan datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.
Polis Sahkan Terima Laporan, Ada Negeri Lain Turut Terima Laporan Yang Sama
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit turut mengesahkan ada menerima laporan berkenaan.
Namun, kes tersebut disiasat oleh pegawai penyiasat dari Johor kerana laporan pertama di buat di Balai Polis Tampoi.
“Negeri lain telah menerima laporan daripada kes yang sama, jadi kes ini akan dirujuk kepada lokasi pertama yang polis terima aduan,” katanya.
JAKIM Lapor MCMC Akaun Lyan Liu, Sebar Kenyataan Berunsur Kebencian & Hasutan
Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius penyebaran komen berbentuk hinaan dan hasutan yang dibuat oleh pemilik akaun Lyan Liu.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, pihaknya telah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tindakan dapat diambil terhadap pemilik akaun tersebut.
“Kenyataan yang dimuat naik individu berkenaan mengandungi unsur penghinaan keterlaluan terhadap agama dan bangsa, yang jelas bertentangan dengan prinsip keharmonian antara kaum dan agama yang telah lama dipelihara di negara ini,” katanya.
Kebebasan Bersuara Tidak Harus Disalah Gunakan, Seru Orang Ramai Agar Tidak Terpengaruh Dengan Sebarang Provokasi
Jelasnya, kebebasan bersuara tidak sepatutnya disalah gunakan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan sensitiviti umat Islam, malah berpotensi mengganggu ketenteraman awam serta menggugat perpaduan nasional.
“JAKIM menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh atau bertindak balas secara emosional terhadap sebarang bentuk provokasi seumpama ini, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas berdasarkan lunas undang-undang,” ujarnya lagi.
Terdahulu, tular di Facebook komen jelik yang dimuat naik oleh pemilik akaun Lyan Liu menerusi sebuah video.
Bukan sekadar menghina bangsa Melayu bahkan dia turut menghina penganut agama Islam.
“Kita beli bom masjid Melayu waktu Jumaat, biar diorang mampus. Penguat kuasa duk kacau ini kebanyakannya dari penyokong Pas Islam,” tulis pemilik akaun FB berkenaan.