Resipi Roti Naan Cheese Dengan Ayam Tandoori
Assalamualaikum semua sahabat-sahabat. Hari Isnin lepas anak-anak Cikgu Liza nak makan Roti Naan Cheese dan Ayam Tandoori. Nak bawa ke mamak tak boleh, jadi Cikgu Liza buatkan semua satu set. Yang nak cuba buat boleh la cuba, Cikgu Liza kongsikan resepinya.
Bahan Roti Naan: (guna measuring cup)
- 4 cup tepung gandum*
- 1 tbsp gula pasir*
- 1 paket yis (mauripan 11gm)*
- 1 tsp garam*
- 1 tsp baking powder*
- 1 1/2 tbsp minyak zaitun*
- 1 1/2 tbsp minyak masak*
- 1 1/4 cup air
Cara Membuat:
1. Satukan semua bahan bertanda (*) dan gaul rata. Masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga doh tidak melekat pada tangan (sekiranya masih melekat, tambahkan sedikit tepung gandum). Perap doh dengan meletakkan kain/tuala lembap menutupi bekas lebih kurang 30-40 minit.
2. Kemudian, tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin. Bulat-bulatkan doh dan gelek (kalau nak letak cheese, lepas gelek letak cheese di tengah, bulatkan dan gelek semula). Lengserkan nonstick pan dengan sedikit planta dan masakkan roti.
Bahan Ayam Tandoori:
- 4 ketul ayam whole leg (dada pun boleh, buang kulit, basuh & kelar)
- 3 sudu teh garam
- 1/2 sudu makan garam masala
- 1 1/2 sudu makan gula
- 1 1/2 sudu makan serbuk cili
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan serbuk ketumbar
- 1/2 sudu makan kunyit
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- 1 sudu makan jus limau nipis
- 1 sudu makan jus lemon
- 6-7 sudu makan yogurt
- 2 sudu makan minyak jagung/zaitun/masak
- 5 ulas bawang putih (tumbuk lumat)
- Seruas ibu jari halia (tumbuk lumat)
- Sedikit pewarna merah
Cara Membuat: Satukan semua bahan dan gaul rata dengan ayam. Perapkan dalam peti ais sekurangnya 1 jam (lagi lama lagi sedap). Panggang dalam oven mode grill pada suhu 200c selama 25-30 minit (panaskan oven dalam 10 minit sebelum masukkan ayam, dalam 15 minit ayam dipanggang, terbalikkan ayam). Guna pemanggang ajaib atau bakar guna arang pun boleh.
Bahan Mint Chutney:
- 1 cup daun pudina
- 1 cup daun ketumbar
- 2 ulas bawang putih
- Sehiris halia
- 3 biji cili hijau (kalau suka pedas boleh guna cili padi akar)
- 1 sudu makan jus lemon
- 3 sudu makan yogurt
- Garam gula secukup rasa
Cara Membuat: Kisarkan semua bahan sampai halus.
Resipi Oleh: Nor Azaliza Tarmizi