
Satu insiden mengejutkan berlaku di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Awan Besar apabila seorang wanita dicampak keluar dari sebuah van.
Lapor Kosmo!, saksi kejadian menyatakan wanita tersebut sempat meminta bantuan pernafasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Saksi nampak wanita tergolek di jalan raya

Faizan Ahmad berkata, ketika kejadian dia sedang memandu ke pejabat apabila kereta di hadapannya membrek secara mengejut.
Kemudian saya nampak wanita itu telah bergolek di atas jalan raya. Kemudian saya dan orang ramai lain turun untuk lihat.
Ketika itu wanita berkenaan masih hidup dan dia meminta kami di lokasi untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR). Saya terus buat panggilan kecemasan.
Saya tidak berani sebab terlampau banyak darah, tetapi ada individu lain yang berikan bantuan pernafasan. Sehinggalah ambulans sampai, wanita itu sudah meninggal dunia.
Faizan turut berkongsi keadaan fizikal wanita itu sangat teruk dengan beberapa kesan lebam jelas kelihatan pada badannya.
Van melarikan diri
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.58 petang.
Mangsa wanita berusia 44 tahun beralamat Menglembu, Ipoh, Perak disahkan maut di lokasi oleh petugas hospital.
Tambah beliau, laporan awal menyatakan wanita itu dicampak keluar dari sebuah van sebelum kenderaan tersebut terus melarikan diri.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian kejam ini.
“Bertengkar Masa Pulang Ke Rumah” – Wanita Maut Di Lebuhraya KESAS, Suami Positif Dadah Ditahan
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita meninggal dunia selepas tergolek di jalan raya dipercayai tercampak daripada sebuah van.
Saksi kejadian menyatakan wanita tersebut sempat meminta bantuan pernafasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Perkembangan terkini daripada pihak polis
Terbaru, Astro Awani melaporkan suami kepada mangsa telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan memaklumkan, suspek yang berusia 50 tahun itu dibuat susulan laporan polis yang diterima di Balai Polis Bandar Kinrara.
Penahanan mangsa dibuat di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong, Selangor oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Suspek mengaku berlaku pertengkaran mulut
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan memaklumkan, berlaku pertengkaran mulut antara mereka ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Suspek dan mangsa telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.
Saringan awal air kencing terhadap suspek menunjukkan keputusan positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Benzodiazepine.
Suspek juga mempunyai satu rekod jenayah serta dua rekod berkaitan dadah.
Lebih mengejutkan apabila pihak polis turut mendedahkan bahawa mangsa sendiri dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis Methamphetamine.
Siasatan lanjut kini sedang dijalankan dan pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil membantu siasatan.
Kredit: Astro Awani, Kosmo!