Syamsul ada minta Ira pulangkan beberapa harta
Gombak: Bekas isteri Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar mendedahkan Syamsul ada meminta untuk memulangkan beberapa harta yang diberikan selepas mereka bercerai pada 5 September lalu.
Perkara itu turut disahkan peguam syarie, Mohammad Fadhil Abdul Razak, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, hari ini.
“Ya, pihak sana (Syamsul) ada meminta beberapa tuntutan semula ke atas anak guam saya, tetapi kami tidak bersetuju memandangkan perkara itu berlaku semasa dalam perkahwinan.
“Kami bukan tidak mahu bersetuju, tetapi dari segi hukum syarak sudah dinyatakan bahawa apa yang sudah diberikan, tidak akan dipulangkan semula,” katanya.
Menurut Mohammad Fadhil, disebabkan anak guamnya tidak bersetuju dengan harta yang dituntut bekas suami, pihaknya ada memberikan beberapa cadangan bagi menyelesaikan perkara itu.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada kata putus daripada kedua-dua pihak termasuk mendedahkan secara terperinci mengenai senarai tuntutan itu.
“Memandangkan tuntutan ini dibuat di luar mahkamah, pihak kami sudah membuat perbincangan dengan pihak Syamsul.
“Namun, keputusan tuntutan itu belum disahkan lagi. Buat masa ini saya tidak boleh hendak mendedahkan apa dalam tuntutan itu demi menghormati kedua-dua belah pihak,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai reaksi Ira atau nama sebenarnya sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, mengenai tuntutan daripada bekas suaminya, dia memilih untuk mengunci mulut.
“Saya tidak mahu komen. Kita hadap (berdepan) saja. Saya takut nanti saya cakap, orang akan salah tafsir,” katanya.