
Cyberjaya: Sukar untuk bercakap. Begitulah keadaan terkini penyanyi Ali XPDC, 57, ketika ditemui pada Majlis Iftar dan Sumbangan Kepada Artis Hijrah Sempena Ramadan di Masjid Raja Haji Fisabillah, di sini, malam tadi.
Ali yang duduk di kerusi roda mulanya bersetuju ditemubual untuk bercerita keadaan kesihatan terkininya.
“Sekarang ini bulan puasa ada semput sikit. Insya-Allah akan sihat. Doakanlah. Saya pun tak dapat puasa penuh. Saya kena makan ubat yang diberikan doktor.
“Saya juga kena jumpa doktor ikut masa yang ditetapkan. Sepanjang Ramadan pun saya banyak berehat,” katanya dalam nada tersekat-sekat dan sukar bercakap.
Ketika itu rakannya yang berada disebelahnya memberikan bantuan dengan mengusap-usap dadanya.
Melihatkan situasi ini, temubual tidak dapat diteruskan bagi memberikan ruang untuk Ali berehat.
Ali bersama 14 lagi penggiat seni hadir untuk menerima sumbangan anjuran DSH Group, Komatra Sajian Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Terdahulu, Ali pernah menerima rawatan di Hospital Cyberjaya akibat paru-paru berair dan jantung bengkak. Dia juga pernah dikejarkan ke hospital sama selepas mengalami sesak nafas.
Dia sebelum ini pernah dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak akibat masalah sesak nafas.
Sumber hmetro