“10 tahun tunggu dpt anak perempuan, Kini dia pula tiada..” – Luahan isteri mangsa kemalangan trak FRU

“Kami tunggu 10 tahun untuk dapat anak perempuan… tapi kini dia sudah tiada.”
Itu luahan pilu Norazian Mohd Joned, 38, isteri kepada Koperal Amiruddin Zabri, seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas ngeri di Jalan Chikus–Sungai Lampam, hari ini.

Menurutnya, sebelum ini, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Amirul Firdaus, 12, dan Amirul Asyraf, 11, sebelum dikurniakan cahaya mata perempuan pertama Amira Sofea, yang kini berusia setahun.
“Dia terlalu gembira bila dapat anak perempuan. Kami sudah lama tunggu saat itu… tapi tak sangka kegembiraan itu tak lama,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Teluk Intan, di sini, hari ini.

Norazian yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar berkata, kali terakhir dia bertemu suaminya tengah hari semalam sebelum arwah bertolak ke Teluk Intan untuk tugasan luar sempena sambutan perayaan.
“Dia macam biasa, siapkan barang untuk ke lokasi. Dia kata dah biasa kerja luar dan minta saya jangan risau.
“Tak sangka kejadian ini berlaku,” katanya.

Norazian berkata, suaminya mula berkhidmat dalam pasukan polis sejak 2011 dan pernah bertugas di beberapa negeri termasuk Johor, sebelum berpindah ke penempatan terkini.
“Saya dapat tahu pasal kemalangan tu daripada rakan sekerja. Dia kata ada kemalangan babitkan Unit 5 dari Sungai Senam.

“Bila telefon suami, dia tak jawab. Saya hubungi rakannya, tetapi dia cuma minta saya tenang dan sabar.
“Masa tu saya masih keliru… betul ke? Sebab laporan awal cuma sebut enam orang maut,” katanya yang reda dengan ketentuan Ilahi.
Sumber – Berita Harian

