Video tular tikus berkeliaran, HTJS titik berat penjagaan kesihatan
HOSPITAL Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) telah mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi mencegah insiden tular menunjukkan tikus berkeliaran dalam bilik wad yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, pihak HTJS telah menjalankan siasatan segera susulan kejadian tersebut.
Menurut beliau, kekerapan jadual pembersihan dan kutipan sampah telah ditambah di samping menitikberatkan penjagaan kebersihan sekitar hospital khususnya di semua wad.
Dr. Harlina berkata, pihak konsesi penyelenggaraan hospital juga telah diarahkan mengenal pasti lokasi yang kerap didatangi tikus dengan kuantiti pemasangan perangkap telah dipertingkatkan.
“Ini termasuk penjadualan kawalan makhluk perosak melalui aktiviti pemeriksaan rutin dan penyelenggaraan pencegahan berjadual (PPM) mengikut frekuensi yang telah ditetapkan iaitu pada setiap hari dan setiap bulan menggunakan pelbagai kaedah bersesuaian.
“Unit Entomologi dan Pest juga turut dilibatkan dalam menjalankan siasatan dan memberi khidmat nasihat teknikal bagi memastikan pelaksanaan aktiviti pencegahan kerosakan serta kawalan makhluk perosak dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Harlina memaklumkan, pihaknya turut menghargai maklum balas diberikan dan berusaha untuk memastikan keselesaan serta keselamatan orang awam yang mendapatkan rawatan di hospital adalah terjamin.
Beberapa hari lalu, tular rakaman video berdurasi enam saat dan 12 saat di laman Twitter serta TikTok menunjukkan seekor tikus berkeliaran di wad kanak-kanak dipercayai hospital kerajaan iaitu HTJS.