“Yeay Cikna Jackpot” – Wanita Teruja Beli RXZ ‘Unregistered’ RM140,000, Pecah Rekod Termahal [Video]
Geng motor atau peminat dua roda pasti mengetahui jentera legenda seperti Kawasaki Kips (RR), Yamaha RXZ, 125zr, RD dan sebagainya masih mempunyai harga walaupun sudah lama ia dikeluarkan.
Mana tidaknya, motosikal-motosikal dua lejang itu sehingga hari ini masih mempunyai peminatnya yang tersendiri selain komuniti besar.
Maka tidak hairanlah, sekiranya harga motosikal-motosikal ini boleh mencecah hingga puluhan ribu ringgit umpama membeli sebuah kereta baru.
Tular usahawan wanita beli RXZ ‘unregistered’ RM140,000
Terbaharu, siapa sangka sebuah motosikal RXZ Catalyzer (RXZ Katak) ‘unregistered’ pula berjaya dijual pada harga RM140,000.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di grup Facebook Matmoto KL, harga yang dijual itu sekali gus menjadi sejarah baharu dalam dunia RXZ di Malaysia.
“Tahniah buat penjual dan pembeli, amat-amat gila pemain RXZ founder 2024 ini,” tulis di ruangan kapsyen.
Beli RXZ menerusi live di TikTok
Motosikal terbabit berjaya dibeli oleh seorang wanita yang juga usahawan jamu terkenal di media sosial, Farhana Zahra atau lebih mesra disapa Cikna menerusi satu sesi siaran langsung (live) di TikTok bersama pemilik motosikal berkenaan.
Dalam video yang dikongsikan di akaun TikTok @pakqall_y15v2, kelihatan Cikna sangat gembira dan merasakan dirinya sudahpun ‘jackpot’ kerana berjaya membeli RXZ Catalyzer ‘unregistered’ itu pada harga berkenaan.
Sebelum ini, Cikna telah membeli dua buah motosikal RXZ pada harga puluhan ribu ringgit untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah buat para pembeli produk jamunya.
RXZ set ‘Biru Bojan’ berjaya dijual RM60,000
Untuk info, pada 2021 dahulu, sejarah tercipta selepas sebuah RXZ dengan set ‘Biru Bojan’ berjaya dijual pada harga tak masuk akal iaitu RM60,000.
Namun rekod itu berjaya dipecahkan selepas RXZ Catalyzer ‘unregistered’ berkenaan pula berjaya dibeli pada harga RM140,000 oleh Cikna.