RUPANYA SOFIA JANE PILIHAN PERTAMA SEBAGAI WATI!
Siapa sangka, di sebalik kejayaan besar filem Sembilu (1994) yang melonjakkan nama Erra Fazira dan Awie ke puncak populariti, tersimpan satu kisah menarik yang mungkin ramai tidak tahu.
Dalam satu temu bual bersama Utusan Malaysia pada tahun 1993, pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam mendedahkan bahawa Sofia Jane merupakan pilihan pertama untuk memegang watak Wati, kekasih kepada watak utama lakonan Awie.
“Sofia akan membawa watak kekasih Awie dalam filem ini,” kata Yusof Haslam ketika itu.
Namun, takdir menentukan segalanya.
Sofia Jane akhirnya membuat keputusan untuk membintangi filem Cinta Kita arahan Kamal Ishak, dan kekosongan watak Wati itu kemudiannya diisi oleh Erra Fazira, ratu cantik yang baru menapak dalam dunia lakonan ketika itu.
Keputusan itu rupa-rupanya membawa tuah besar!
Filem Sembilu, yang menelan belanja sebanyak RM400,000, mula ditayangkan di pawagam pada 18 Ogos 1994, dan mencatat fenomena luar biasa dengan kutipan box-office sebanyak RM4.3 juta. Satu angka luar biasa pada zaman itu.
Sementara itu, filem Cinta Kita yang dibintangi oleh Sofia Jane pula ditayangkan pada 27 April 1995, dan turut mencatat kejayaan tersendiri dengan kutipan RM1.5 juta.
Walaupun Sofia Jane tidak menjadi Wati, kedua-dua filem tersebut tetap menjadi antara karya ikonik dalam sejarah perfileman tanah air.
Dan kini, peminat industri hiburan mula tertanya-tanya, bagaimana agaknya rupa Sembilu jika Sofia Jane benar-benar membawa watak Wati?
Kredit: Siar
Oleh Danial Aziz Ahmad
