Baby Shima buat lagu ‘Masuk Lagi’, Sekali Haiza sound terus

Baby Shima buat lagu ‘Masuk Lagi’, Sekali Haiza sound terus..👇

Penyanyi Haiza atau Rohaizah Nordin tampil memberi teguran terbuka terhadap lagu baharu nyanyian Baby Shima berjudul Masuk Lagi, yang didakwa mengandungi unsur lucah dalam liriknya sehingga mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat serta penggiat seni. Isu itu timbul selepas lirik lagu tersebut dikritik tidak sesuai dan dikatakan kurang sensitif terhadap nilai budaya tempatan. 

Haiza menyatakan bahawa dalam penghasilan sesebuah lagu, aspek nilai, budaya serta kesan jangka panjang terhadap pendengar perlu diambil kira, terutama apabila karya mudah diakses oleh pelbagai lapisan usia. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Kenduri Rakyat Haiza selepas memenangi Anugerah Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-37 di Selayang, Selangor. 

“Saya baru berbincang dengan beberapa rakan tentang perkara ini. Kenapa perlu keluarkan lirik yang seperti itu? Kadang-kadang, disebabkan seorang penyanyi, seluruh industri pula yang dilabel negatif, sedangkan ia hanya melibatkan individu tertentu sahaja,” kata Haiza kepada wartawan. 

Haiza kemudian memberi nasihat kepada Baby Shima sebagai rakan artis untuk mencari lirik yang lebih mendidik, dan menekankan bahawa walaupun genre dangdut mempunyai gaya tersendiri, liriknya masih perlu sesuai untuk pendengar dari pelbagai peringkat usia. “Mungkin itu kategori dan pilihannya, tapi sebagai orang yang lebih senior, saya harap Baby Shima boleh pilih lirik yang lebih bermakna dan mendidik,” jelasnya lagi. 

Tambah Haiza, budaya lirik yang berunsur lucah tidak seharusnya dinormalisasikan di Malaysia kerana ia tidak selari dengan nilai masyarakat tempatan. Beliau turut menegaskan bahawa penggiat seni wajar menumpukan kepada penghasilan karya yang membawa mesej positif serta mampu membentuk pemikiran yang lebih baik dalam kalangan pendengar, ujarnya. “Jangan normalisasikan unsur lucah dalam lagu… kita kena fikir tentang generasi akan datang kerana apa yang mereka dengar hari ini boleh terbawa-bawa. Lebih baik kita normalisasikan perkara yang baik dan membina,” tegas penyanyi itu