Pernah dihalau dari rumah gara-gara menyuarakan keinginan menjadi pelakon, aktor veteran Harun Hashim, 70, mengakui segala pengorbanan masa mudanya berbaloi walaupun terpaksa menumpang tidur di kaki lima sekitar Stesen Bas Klang selama tiga hari.
Kini, ketika kudrat tidak lagi sekuat dahulu dengan ‘bersarangnya’ pelbagai penyakit, termasuk tiga serangkai selain mata kiri tidak lagi berfungsi, anak jati Kapar, Selangor itu tetap kuat semangat menggagahkan tulang empat kerat memenuhi tawaran lakonan.
“Saya masih larat berlakon, terbaharu saya membintangi drama lapan episod arahan Pali Yahya berjudul Luka dalam Rindu dan bakal berlakon lagi dengan pengarah sama untuk projek akan datang.
“Kiranya boleh sahaja saya ke set. Bagusnya produksi ambil dan hantar saya sepanjang tiga minggu penggambaran berlangsung. Mata saya sebelah dah tak nampak, jadi lama tak memandu,” katanya.
Santai menunggang motosikal kapcai, jika tidak terikat jadual kerja, akuinya aktiviti harian adalah berulang ke pusara arwah isterinya, Sakinah Ganjali yang meninggal dunia ketika usia 48 tahun pada 11 November 2024.
*KERJA RESTORAN MAMAK CUCI PINGGAN*
Enggan berlama-lama melayan syahdu, Harun kembali bernostalgia tentang zaman remaja yang sanggup bekerja mencuci pinggan di sebuah restoran mamak di Klang demi sesuap nasi dan tempat berteduh.
Berbekalkan duit RM18 bekalan si ibu, Harun yang dihalau bapa kandung sendiri nekad tidak pulang ke rumah kerana mahu membuktikan cita-cita menjadi pelakon dapat direalisasikan.
*KOREK TONG SAMPAH*
“Selepas tiga hari tidur di kerusi batu dengan perut beralas empulur nanas sisa buangan peniaga yang dikutip dalam tong sampah, saya minta kerja di restoran mamak.
“Dapatlah makan percuma dan lelapkan mata di bawah meja makan selepas kedai ditutup.
“Lama juga saya cuci pinggan sebelum panjangkan langkah ke Kuala Lumpur selepas diajak seorang tukang jahit kerja dengannya di Puchong.
“Saya belajar sembat kain. Bos saya juga buat baju untuk penari kebudayaan. Jadi dapatlah saya jumpa ramai anak seni hebat, ada (arwah) Datuk Hail Amir dan ramai lagi.
“Peluang itu saya gunakan untuk sertai latihan asas berlakon. Guru saya Datuk Ahmad Tarmimi Serigar. Tegas.
“Dari situ saya aktif teater tetapi masih tak berduit sebab kena bayar yuran. Kalau lapar sangat saya teguk air paip sampai kenyang,” katanya yang juga terpaksa kutip tin dan botol kosong bagi menampung kehidupan.
Langkah menjadi dramatis terbuka luas selepas penerbit RTM, Abdullah Zainol menonton latihannya sebelum menawarkan berlakon dalam drama Damak yang turut dibintangi Ahmad Yatim.
“Dari situlah saya meraih satu persatu tawaran sehingga wajah kerap masuk surat khabar.
“Selepas itu saya mula balik kampung, tapi walaupun bapa langsung tidak puji, saya tahu dia bangga kerana di kedai kopi dia cerita pasal drama saya. Itu sudah cukup mengharukan,” tuturnya.
Mengakui selesa tinggal di kawasan kampung di Jeram, Harun berterima kasih terhadap masyarakat setempat serta ketua kampung yang menerima kehadirannya dengan hati terbuka.
“Saya bukan orang kampung ini, cuma terus menyewa di sini sebaik orang rumah saya dikebumikan. Syukur saya diterima dan mungkin di sinilah hari terakhir saya sebelum menutup mata.
“Memang anak minta saya tinggal dengan mereka. Saya tak mahu susahkan sesiapa, mereka pun ada kehidupan sendiri. Tak mengapalah,” ujar bapa kepada enam anak itu menutup bicara.
Sumber: kosmo
