Seorang lelaki yang juga suami kepada pelakon Azar Azmi, 35, merayu jaminan minimum di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu membabitkan urusan penjualan tanah kurniaan tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM200,000 tahun lalu.
ISTERI TAK KERJA, KENA TANGGUNG 9 ORANG ANAK
Tertuduh, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, yang tidak diwakili peguam membuat rayuan itu dengan alasan isterinya tidak bekerja selain perlu menanggung sembilan anak.
Katanya, dia juga menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan gout.
Pengakuan tidak bersalah itu dibuat di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun milik seorang wanita berusia 35 tahun bagi mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud.
Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang berkenaan yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 2 April 2025 hingga 13 November 2025 di sebuah bank di daerah ini.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 22 Januari 2025 hingga 9 November 2025 di sebuah pejabat di Seremban 2 di sini.
Sumber: sinarharian
