Kematian di rumah Allah, lelaki meninggal dunia ketika solat Isyak berjemaah
Seorang jemaah dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi.
Menurut laporan Utusan Online, Allahyarham Yusri Taib yang berusia 51 tahun dikatakan rebah ketika rakaat pertama sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Abang mangsa iaitu Mat Isa Taib berkata, arwah yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat bisnes menjahit kusyen dan bantal selain diketahui dalam keadaan sihat.
“Allahyarham mempunyai empat anak berusia antara 16 hingga 23 tahun. Anak sulungnya baru sahaja bekerja selepas menamatkan pengajian,” kata Mat Isa.
Berita kematian yang disifatkan sebagai husnul khatimah itu dikongsi oleh beberapa pengguna laman Facebook termasuk pendakwah dan pengarang buku agama, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.
Rata-rata mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Meninggal dalam keadaan wuduk, solat, masjid, bulan Ramadan
Difahamkan, jenazah Allahyarham dimandikan di MAN sekitar jam 8.30 pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah pada pukul 11 pagi.
Kata Alisara ‘
Allahuakbar..pengakhiran yg sgt2 dicemburui.. yg sgt2 diidam idamkan..
innalillahiwainnailaihirojiun
Semoga arwah Yusri Bin Taib, Allah tempatkan bersama org2 yg beriman dan beramal soleh..
in syaa Allah..Aamiin
- Meninggal dalam solat fardu Isyak
- Meninggal dalam Bulan Ramadhan
- Meninggal dalam keadaan berwuduq
- Meninggal dalam Masjid
- Meninggal sebutan terakhir Allah
Allahuakbar
Sedang imam membaca surah pada rakaat pertama di solat Isyak malam ini, tiba-tiba kedengaran seorang rebah di belakang saya dengan bunyi yang agak kuat seiring suara, “Allah!”.
Usai solat, keadaan menjadi gempar bila ada ahli jemaah yang menyeru, “ada sesiapa doktor di sini… cepat-cepat.”
Beberapa orang menerpa ke tempat kejadian dan terus memberi pertolongan cemas. Saya dengan beberapa ahli jemaah di saf pertama terus berada di tempat masing-masing sambil mendoakan kebaikan buat ahli jemaah tersebut dan terus melapangkan ruang bagi proses pengudaraan yang baik.
Beliau tidak sedarkan diri. Tangan dan tubuhnya longlai sekali. Ketika doktor menekan dadanya berkali-kali untuk membantu proses bernafas, beliau terus lemah.
Setelah tubuhnya yang tidak berdaya diusung ke belakang, doa tahlil serta solat Tarawih diteruskan. Usai solat Tarawih dengan diikuti solat witir, pengumuman dibuat yang mengatakan ahli jemaah telah pun meninggal dunia.
Saya terpegun. Sayu. Sedih. Begitu cepat dan tiba-tiba sekali Izrail menjemputnya pulang. Dan alangkah indahnya kematiannya… di rumah Allah, pada malam Ramadan yang barakah, sedang solat, serta sempat mengucapkan nama Allah. Cemburu!
Entah mengapa pada malam ini, saya tergerak untuk solat di Masjid Nur, Jalan Seri Pagi, Bandar Saujana Utama. Dan malam ini, isteri pula agak sihat untuk ditinggalkan seorang buat saya berjemaah di masjid.
Tentunya insiden ini bukan kebetulan. Tetapi punya tujuan, buat diri saya dan sesiapa sahaja yang berada di masjid itu, di jauh dan dekat. Cukuplah mati itu sebagai peringatan. Mengingati mati ialah zikir yang senyap….
Ketika melihat sianak duduk menangis di samping jenazah, seorang wanita (mungkin isteri) yang terburu-buru datang sambil mengalirkan air mata…saya sayu. Kami sendu.
Dan kami mendoakan Allahyarham akan tersenyum meninggalkan dunia yang penuh fitnah ini menuju alam baqa yang penuh saadah. Insya-Allah. Amin.
Gambar di bawah, saya ambil hanya beberapa ketika sebelum peristiwa itu. Entah kenapa, hati saya tergerak untuk mengabadikan sesuatu. Tanpa saya jangka, malaikat Izrail sudahpun berada di muka pintu untuk mencabut nyawa sahabat tersebut…
Innalilahi wa innailaihi rajiun. Semoga Allah mengasehani dan mengampuni rohnya. Amin.
Kematiannya yang indah…kita? Entah di mana? Entah bila? Bagaimana? Terus rahsia.
Tetapi pasti tiba!