Anwar Ibrahim mendakwa tidak mungkin dia melakukan serangan seksual terhadap Yusoff Rawther kerana pada masa dan tarikh kejadian itu didakwa berlaku, ahli politik terbabit bersama anak perempuannya, Nurul Nuha.
Hal itu dinyatakan Anwar dalam afidavit sokongan yang difailkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menafikan Yusoff – yang ketika itu menjadi pembantunya – ada di kediaman ahli politik terbabit di Segambut pada 2 Okt 2018.
“… anak perempuan kedua saya, Nurul Nuha, berada di kediaman saya antara jam 2 petang dan 6 petang.
“Beliau (Nurul Nuha) mengesahkan bahawa beliau dan anak-anaknya berada bersama saya sehingga ketibaan tetamu saya dari Indonesia, iaitu Romo Nitiyudo dan Nella Sandra, dan bahawa pada masa itu, antara jam 2 petang dan 4 petang, saya tidak bertemu sesiapa selain beliau dan cucu-cucu saya,” katanya.
Menurut Anwar – ketika itu merupakan ketua pembangkang – pengawal keselamatannya, Norafree Ahmad, juga menafikan dia mengiringi Yusoff ke kediaman Anwar seperti yang didakwa dalam saman sivil lelaki terbabit.
“Saya menyatakan bahawa tiada bukti plaintif hadir di kediaman Segambut pada 2 Okt 2018.
“Saya selanjutnya menyatakan bahawa plaintif tidak menyerahkan ucapan yang saya sampaikan pada 2 Okt 2018 di Acara Mahatma Gandhi terus kepada saya. Ia telah diserahkan kepada anggota keselamatan saya,” katanya.
Afidavit Anwar difailkan bagi menyokong permohonannya kepada mahkamah untuk menangguhkan saman sivil Yusoff sehingga tiga isu yang dibangkitkan mengenai dakwaan Yusoff ditentukan.
Perdana Menteri juga memohon mahkamah menghalang media daripada membuat liputan isu-isu awal, serta mengehadkan pendengaran hanya kepada orang yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut.
Sementara itu, peguam Yusoff, Rafique Rashid Ali, memberitahu pemberita pagi ini bahawa mereka akan memfailkan bantahan terhadap permohonan Anwar.
“Ini bukan kes serangan seksual yang melibatkan kanak-kanak atau kanak-kanak bawah umur, tetapi ini melibatkan individu yang merupakan warganegara Malaysia, termasuk seseorang yang memegang jawatan awam tertinggi di negara ini.
“Rakyat mesti tahu apa yang berlaku. Jadi kami akan membantah permohonan itu,” katanya.
#AnwarIbrahimPM10
#YusoffRawther
#kontroversi
#KerajaanMadani
#PMX
