Norish Karman berdepan penyakit kritikal, rayu sumbangan untuk rawatan segera

PELAKON Norish Karman memaklumkan keadaan kesihatannya semakin merosot dan berisiko diserang angin ahmar gara-gara masalah anemia atau kekurangan sel darah merah.

Bagi mengatasi masalah itu, Norish, 52, memberitahu dia berkemungkinan memerlukan rawatan pemindahan darah bagi merawat penyakit berkenaan.

“Bila-bila masa boleh kena strok, serangan jantung atau meninggal dunia. Kesihatan merudum sebab sel darah merah rendah melampau.

Tapi Alhamdulillah buat masa ini masih bernafas. Cuma duduk atas kerusi roda,” katanya kepada mStar.

Norish memaklumkan perkara tersebut selepas tular gambar memperlihatkan dirinya terbaring di atas katil sebuah hospital.

Dalam pada itu, Norish secara terbuka mengakui memerlukan sumbangan dan dana bagi menampung kos perubatan.

“Saya menunggu dana yang cukup untuk dimasukkan ke hospital,” ujarnya.

Sebelum ini, menerusi satu perkongsian di Threads, anak kepada Norish yang dikenali sebagai Manda menulis tentang kesihatan ibunya yang semakin merosot.

Dalam hantaran tersebut, turut disediakan satu pautan yang membolehkan orang ramai menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk aktres berkenaan.