Rayuan suami Miera Liyana, siapa sangka nasib menimpanya. Puncanya kerana

Seorang ahli perniagaan yang juga suami kepada pelakon, Miera Liyana merayu agar Mahkamah Sesyen di sini menetapkan jumlah ikat jamin yang lebih rendah selepas didakwa atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), lima tahun lalu.

Peguam S. Shastidaran yang mewakili Rosland Othman berkata, anak guamnya telah diisytiharkan muflis pada tahun 2023 selain menghidap beberapa penyakit termasuk kencing manis, glaukoma dan masalah saraf.

“Dengan keadaan kesihatan serta tanggungan keluarga yang besar, saya memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan anak guam diikat jamin pada jumlah yang lebih rendah dan munasabah,” katanya.

Rosland, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tujuh anak itu yang ketika kejadian merupakan pengarah Sarawak Consolidated Industries Berhad didakwa menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia berkaitan hal ehwal syarikat tersebut.

Pernyataan palsu itu didakwa terkandung dalam dokumen Interim Financial Report on Consolidated Results for the Quarter Ended 30 September 2021.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 30 September 2021.

Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Hashley Tajudin memaklumkan pihak pendakwaan tidak mencadangkan tertuduh diberikan ikat jamin kerana kesalahan tersebut termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, katanya, jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara untuk menawarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM1 juta dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di ibu pejabat SC sekali setiap bulan sehingga kes selesai,” katanya.

Shastidaran turut memaklumkan anak guamnya menanggung tujuh anak hasil dua perkahwinan serta dua warga emas iaitu ibu kandung dan ibu mentuanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 7 Mei ini.

Sumber: sinarharian