Selepas ditahan berhubung kes penipuan penjualan tanah lot kurnia tidak wujud melibatkan kerugian RM1.5 juta, pelakon wanita dan suami disyaki pula terlibat dalam kes penipuan mendapatkan darjah kebesaran yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, laporan polis diterima berhubung perkara itu pada 18 Disember lalu.
“Polis telah menerima satu laporan berkaitan dengan modus operandi penipuan dalam urusan mendapatkan darjah kebesaran Negeri Terengganu yang tidak wujud.
MANGSA SEORANG LELAKI PESARA KERAJAAN
“Mangsa seorang lelaki yang merupakan pesara kerajaan telah ditawarkan oleh suspek lelaki bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran terbabit yang membawa gelaran Datuk,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mangsa telah membuat transaksi pembayaran wang proses sebanyak enam kali bermula Januari 2025 hingga November 2025 yang melibatkan kerugian RM23,120.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Sekyen 420 Kanun Keseksaan dan pasangan berkenaan yang tempoh remannya berakhir pada Ahad akan ditahan semula.
Sebelum ini media melaporkan pasangan itu yang berusia 35 dan 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia di Selangor membabitkan kerugian RM1.5 juta.
NAMA PELAKON AZAR AZMI KENA PETIK
Terdahulu, kecoh dalam Threads apabila seorang pengasas produk kecantikan mendakwa menjadi mangsa penipuan dan meminta bantuan penyanyi rap, Caprice untuk mendapatkan keadilan.
Isu tersebut turut mengaitkan seorang individu bernama Hazrin serta isterinya, pelakon drama Azar Azmi.
Mangsa turut memuatnaik gambar kad pengenalan yang tertera nama Azar Azmi.
Malah tiada sebarang kenyataan rasmi atau penafian dikeluarkan oleh pihak pelakon itu berhubung dakwaan berkenaan meskipun ia menjadi perhatian ramai dalam media sosial.
Sumber: sinarharian
