Sathiya kini tidak sedarkan diri dan doktor terpaksa ambil tindakan drastik…
Pelakon dan pelawak veteran, Sathiya, 62, kini dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di zon kuning Hospital Ampang, di sini, sejak awal pagi tadi.
Anak perempuannya, Amani, 37, memaklumkan bapanya dibawa ke hospital kira-kira jam 1.30 pagi selepas didapati tidak mampu berkomunikasi dengan jelas.
“Keadaan kesihatan ayah merosot selepas mengadu pening kepala serta mengalami simptom mata menjadi kuning dan muntah-muntah sejak malam semalam. Kita cakap satu, dia respons satu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Amani, hasil pemeriksaan doktor termasuk ujian X-ray dan ujian darah mendapati bapanya perlu menjalani pembedahan lanjut pada bahagian kaki.
Katanya, pakar perubatan mengesahkan kaki kiri bapanya yang pernah dibedah sebelum ini terpaksa dipotong sekali lagi, tetapi kali ini di atas paras lutut.
Langkah drastik itu perlu diambil bagi mengelakkan jangkitan kuman merebak ke bahagian anggota badan yang lain memandangkan keadaan luka lama sudah bernanah.
“Doktor cakap terpaksa potong kaki yang dulu pernah dipotong itu sekali lagi.
“Kalau potong pun, kali ini di atas lutut sebab risau kuman cepat merebak pada badan,” katanya.
Selain isu luka pada kaki kiri yang sudah dipotong, kaki kanan Sathiya juga dilaporkan mengalami bengkak yang serius.
Walaupun Sathiya tidak pernah mengabaikan jadual rawatan susulan dan pengambilan ubat-ubatan sebelum ini, keadaannya kali ini agak membimbangkan kerana dia belum sedarkan diri.
Difahamkan, Sathiya kini berada zon kuning hospital berkenaan sementara menunggu kekosongan wad dan pemantauan lanjut daripada pakar ortopedik.
Sumber: hmetro
