Kuala Lumpur : Dalam setiap ujian yang datang tanpa diduga, terselit hikmah yang mengikat kasih sayang lebih erat. Itulah yang dilalui pelakon, pengacara dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau bersama isterinya, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim, apabila kesetiaan dan pengorbanan menjadi tiang kekuatan keluarga mereka.
Detik sukar yang dilalui Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, 58, selepas mengalami pendarahan beku pada otak dan menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, menyaksikan isterinya tampil sebagai tonggak utama keluarga.
Sharifah Azrinah atau mesra disapa Rina tanpa keluh menggalas tanggungjawab mencari rezeki, mengurus rumah tangga dan dalam masa sama menjaga suami yang sedang melalui proses pemulihan.
“Tak mengapalah buat sementara ini, kita berbakti pada suami. Insya-Allah dia boleh sembuh. Cuma memang penat sebab banyak perkara perlu difikirkan,” katanya kepada BH Online.
Menurut Sharifah Azrinah, keadaan suaminya kini jauh berbeza berbanding dahulu, terutama dari segi komunikasi, tahap kecergasan serta kurang selera makan.
“Percakapannya agak perlahan. Ada perkara yang dia mahu sampaikan, tetapi sukar diluahkan. Dia ambil masa untuk menjawab. Bukan kami tak mahu dia berjumpa dengan orang tapi dia memang ada masalah komunikasi,” katanya.
Tambahnya, biarpun menunjukkan perkembangan positif, Shamsul masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
Sepanjang Ramadan, Shamsul yang sebelum ini aktif dengan aktiviti seperti berjalan pantas kini lebih banyak berehat di rumah.
“Seperti Ramadan sebelum ini, ada yang jemput dia menghadiri majlis ilmu, tapi tahun ini keadaannya tidak mengizinkan. Majlis tahun ini pun dia pergi ditemani anak, Ummar dan Qaseh.
“Makan pun tidak banyak, jadi tenaganya berkurangan. Kebanyakan masa dia tidur kerana tiada aktiviti lasak,” katanya yang turut sibuk menguruskan perniagaan biskut dan kerepek sejak 11 tahun lalu.
Menjelang Syawal, keluarga ini memilih untuk meraikan Aidilfitri secara sederhana.
Mereka merancang pulang ke kampung halaman Shamsul di Kampung Kubu Gajah, Perak pada hari raya ketiga bagi menziarahi pusara ibu bapanya.
Sebenarnya saya mahu dia berehat saja, tetapi dia sudah beberapa kali menyuarakan hasrat itu. Jadi kami sepakat membawanya pulang, mungkin untuk tukar angin,” kata Sharifah Azrinah.
Sementara itu, Shamsul yang kini lebih banyak mendengar mengakui kehidupannya berubah sepenuhnya selepas diserang strok.
“Memang sangat berbeza. Satu Malaysia tahu keadaan saya, tetapi saya cuba pulih. Doktor kata sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk pemulihan,” katanya.
Kini, rutin hariannya turut berubah apabila perlu bergantung kepada ubat termasuk ubat pencair darah yang perlu diambil secara berterusan.
“Saya kena positif. Saya perlu sembuh kerana anak-anak masih bersekolah dan saya perlu bekerja semula,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Shamsul yang juga pernah menganggotai kumpulan lawak Senario tidak menafikan perasaan sedih yang hadir apabila mengenangkan keadaan kesihatannya. Namun, dia memilih untuk terus berfikiran positif demi proses pemulihan.
“Saya perlu kekal positif. Kepada anak-anak, saya selalu pesan supaya terus memberi semangat kepada saya. Alhamdulillah, mereka banyak membantu, terutama anak sulung yang setia di sisi sejak saya dimasukkan ke hospital lagi,” kata penyanyi Lagu Hits Buatmu ini.
