Alhamdullilah, berkat syawal. Akhirnya, fazura dedah status hubungan dengan que haidar

Kuala Lumpur: Selepas kecoh netizen menjodohkan nama mereka sejak Ramadan lalu, pelakon dan penyanyi, Nur Fazura Sharifuddin mengakui hubungannya dengan aktor Que Haidar kini berada dalam fasa saling mengenali hati budi masing-masing.

Fazura, 43, bagaimanapun berkata, status sebenar hubungan itu adalah dalam fasa sahabat baik.

Menurutnya, apa yang boleh disimpulkan adalah mereka kini lebih dekat sebagai rakan lama yang bertemu kembali setelah lama tidak bersua dan saling memahami perjalanan hidup masing-masing.

“Sebenarnya saya dan Que dalam fasa sahabat lama yang sedang mengenali hati budi masing-masing.

“Kami pun dah lama tak jumpa, dulu memang langsung putus dari berhubung kerana punya pasangan masing-masing cuma sekarang kami kembali lebih dekat. Kita kenali dulu hati budi masing-masing.

“Kami pun dah ada banyak pengalaman masa lalu. Jadi tak ada apa yang nak digopohkan. Seperti yang diperkatakan Que sebelum ini, tak ada ada apa nak diberat-beratkan, kita ringan-ringankan sahaja,” katanya kepada BH Online.

Dalam masa sama, pelakon filem Dendam Pontianak itu enggan meletakkan sebarang tekanan atau ramalan mengenai masa depan hubungan mereka.

“Masa depan kita tidak pasti. Hari ini tidak tahu, sejam lagi tidak tahu, dua jam lagi pun saya tidak tahu. Saya tidak mahu bercakap lebih-lebih kerana saya seorang wanita.

“Lagipun saya tidak mahu mendabik dada atau sombong dengan Allah. Betul atau tidak, kita tidak tahu siapa jodoh kita. Saya cuma mendoakan jodoh yang diredhai Allah, maka itu lah yang terbaik buat saya” tegasnya.

Fazura turut berkongsi rasa kagumnya terhadap sahabatnya itu, bukan sahaja kerana pencapaian peribadi, tetapi juga sifat rendah diri yang dimiliki.

“Ketika ditemu bual sebelum ini, Que ada kata yang dia bangga dengan pencapaian saya. Jujurnya saya sangat terharu.

“Dia bukan kecil-kecil orangnya. Bila seorang lelaki yang banyak pencapaian dan merendah diri sebegitu, itu sesuatu yang saya kagumi. Dia sahabat yang baik,” ungkap Fazura.

Terdahulu, keakraban Que dan Fazura mencuri perhatian ramai selepas mereka dilihat bekerjasama mempromosikan sebuah jenama pakaian tempatan.

Malah, Que juga pernah menghadiahkan sejambak bunga mawar kepada Fazura, selain kedua-duanya turut dilihat keluar bersama mengunjungi bazar Ramadan.

Kemesraan mereka yang sering berbalas komen di aplikasi Threads turut menarik perhatian peminat sehingga tercetus tanda pagar #QueLaFaz, sekali gus membuatkan ramai mula mengusik dan ‘menjodohkan’ pasangan sahabat berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Fazura memaklumkan tahun ini kali pertama anaknya, Nur Fatima Aisya menyambut hari raya bersama bapanya, pelakon, Fattah Amin, manakala sambutan bersama Fazura bermula pada hari kedua dan seterusnya.

“Sebagai seorang ibu, keutamaan saya adalah kebahagiaan, kesihatan dan kesejahteraan mental Fatima. Jika dia mahu beraya dengan bapanya, dan itu membuatkan dia bahagia, saya akan turutkan. Apa sahaja untuk kebahagiaannya,” katanya.

Berkongsi cara didikan yang diamalkan, Fazura berkata, dalam usia lima tahun, Fatima sedang berada dalam fasa menyerap pelbagai ilmu dan teladan dari orang sekeliling, terutama daripada ibu bapa.

“Banyak nilai positif saya terapkan kepadanya. Sebagai yang paling dekat dengannya, saya perlu memainkan peranan penting dalam hidupnya. Saya ajar adab, ucap terima kasih, ucap maaf, menghargai manusia dan melayan semua orang sama rata, tidak kira usia, berkuasa atau berstatus.

“Penting juga dia faham bahawa segala-galanya milik Allah, dan manusia tidak ada kuasa mutlak ke atas apa pun. Mudah-mudahan dia menjadi insan beradab, rendah diri, dan menghormati semua orang,” jelasnya penuh harapan.

Fazura juga mengulas mengenai kecaman yang diterima di aplikasi Threads, sambil menegaskan semua itu adalah ujian dari Allah.

“Dua tahun ini Allah memberi saya ujian, dan saya pegang teguh prinsip bahawa kata-kata orang adalah urusan mereka. Nak cakap apa pun terpulang, itu semua rezeki dan ujian dari Allah.

“Allah beri ujian supaya saya lebih dekat dengan-Nya. Saya ambil semua perkara negatif ini sebagai peluang untuk bersabar, bertabah dan bermuhasabah diri. Itulah diri saya,” katanya.

Namun, sebagai seorang ibu, Fazura menegaskan, beliau akan sentiasa melindungi Fatima daripada sebarang gangguan atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatannya.

“Jika ada sesiapa menyentuh Fatima, itu perkara yang saya tidak boleh terima. Menjadi tanggungjawab saya untuk melindunginya, dan satu hari nanti dia akan melihat bagaimana saya, sebagai ibu, menjaga dan melindungi dirinya. Kanak-kanak ni daya ingatan mereka sangat kuat; dia akan ingat segala perkara,” katanya.