Pelakon dan pengarah, Ahmad Idham tampil menjawab isu dirinya yang mendakwa bangunan milik usahawan, Datin Nur Shahida telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya.
Menerusi perkongsian di Threads, Idham menjelaskan bahawa dia tidak pernah menyentuh tentang perniagaan mahupun bangunan berkenaan.
Sebaliknya, tegurannya hanya ditujukan kepada sikap segelintir pemilik kenderaan yang meletakkan kereta sehingga menghalang laluan orang lain.
“Saya tak sebut pun perihal bangunan atau perniagaan. Yang ditegur itu ialah sikap pemilik kenderaan.
“Yang lain duk melompat kepanasan ni dah kenapa. Faham ke tidak konteks atau isunya sedara?” tulis beliau.
Dalam satu hantaran lain, Idham turut mendakwa individu terbabit bukan sahaja menghalang laluan kenderaan, malah menutup laluan keluar sebuah sekolah yang menempatkan anak istimewanya.
“Mereka bukan sahaja menghalang kereta tetapi juga block laluan keluar premis sekolah anak istimewa saya.” tulisnya.
Terdahulu, Idham meluahkan rasa kecewa apabila kawasan sekitar wisma milik Shahida didakwa menjadi punca kesesakan lalu lintas susulan kehadiran ramai pengunjung.
Menurutnya, lokasi tersebut dilihat kurang sesuai dijadikan tumpuan jualan yang menarik orang ramai.
“Dah tau tempat sempit, pergi la cari area lain kalau nak buat sales. Ni kawasan pejabat di susahkan. Bukan tak boleh cari option yg lebih bertamadun.” tulis Idham pada hantaran terdahulu.
Meskipun tidak menyebut nama perniagaan secara langsung, salah satu premis di kawasan berkenaan adalah milik Shahida.
Bagaimanapun, Shahida memohon agar Idham tidak menggelar kawasan wisma perniagaannya sebagai tidak bertamadun kerana ia telah beroperasi di situ sejak 2015 dan menjelaskan kawasan tersebut merupakan kawasan perindustrian.
Sumber: astro gempak
